2012年11月26日星期一

UMNO BANYAK LAHIRKAN PEMIMPIN CHAUVINIS

(Petikan drpd buku Maruah Bangsa Melayu Gagal ? terbitan April 1991)



MALAYSIA adalah sebuah negara yang paling bertuah malah unik dalam pembentukan masyarakatnya yang berbilang kaum dan agama. Tuahnya kerana ia mempunyai banyak hasil galian seperti bijih timah, kayu balak, getah dan kelapa sawit yang mana setakat ini rakyat berbilang kaum pada keseluruhannya dapat mengecapi hidup bersepadu dalam keadaan yang harmoni, walaupun peristiwa 13 Mei telah sedikit sebanyak mencemar sejarah yang boleh dibanggakan oleh rakyat negera ini.

Malangnya kini Malaysia sedang menghadapi satu cabaran yang rumit sekali sejak kemerdekaan dan sekiranya kita tidak mengatasinya dengan sebaik-baiknya, ia mungkin mendatangkan malapetaka yang mana sukar dipulihkan semula. Apa yang dimaksudkan ilaah pemimpin dan ahli politik negara yang bercorak ekstrimis dan berpandangan sempit, langsung tidak mengambil kira perasaan kaum lain. Gejala ini berlaku bukan sahaja di parti-parti oposisi, malah berlaku di komponen-komponen Barisan Nasional termasuk UMNO dan MCA.

Dalam hal ini UMNOlah yang banyak melahirkan pemimpin muda yang chauvinistik dan ekstrimistik yang mana MCA jauh ketinggalan dalam nisbahnya kerana cuma segelintir sahaja ekstrimis yang pernah muncul di kalangan MCA, itu pun akibat daripada reaksi terhadap ekstrimis UMNO.

Dan sesetengah golongan kakitangan kerajaan yang juga berpandangan sempit dan chauvinistik dalam menjalanakan tugas mereka, banyak menimbulkan keresahan di kalangan masyarakat bukan Melayu. Misalnya, penyelewengan dalam pengambilan penuntut ke Universiti tempatan yang terlalu berat sebelah dan amat mengecewakan mereka yang berketurunan bukan Melayu, sekatan-sekatan dalam bidang perusahaan ekonomi, peraturan yang luar dari batasan yang berbau chauvinistik dan bercanggah dengan apa yang termaktub dalam perlembagaan negara seperti insiden enggan menerima cek-cek yang bertanda tangan dalam bahasa Tionghua yang pernah diputuskan oleh Bank Simpanan Nasional dan Pejabat Pos serta banyak lagi peristiwa-perisitiwa lain yang membangkitkan kesangsian antara kaum dan ketidakpuasan terhadap kerajaan.

Sekali imbas kita mendapat banyak misalan yang menunjukkan bagaimana ekstrimnya sesetengah pemimpin muda dari UMNO yang langsung tidak mengambil kira perasaan masyarakat bukan Melayu. Masih teringat seorang Exco Pemuda UMNO yang pernah secara terbuka mencadangkan supaya memansuhkan sistem pembelajaran Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil pada Februari lalu dalam Khemah Kerja Politik Pemuda Barisan Nasional 1986. Apabila beliau mengatakan demikian, adakah beliau tidak langsung mengetahui bahawa Perlembagaan Negara menjamin rakyat bukan Melayu berhak mempelajari bahasa ibunda mereka ataupun beliau lansung tidak menghormati Perlembagaan Negara?

Mujurlah Ketua Pemuda UMNO, Encik Anwar Ibrahim dengan tidak teragak-agak memberitahu para hadirin dalam khemah kerja itu bahawa apa yang dicadangkan oleh Exco Pemuda itu bukan pendirian Pemuda UMNO. Pelik sekali, Encik Anwar yang pada ketika itu bertindak rasional tetapi dalam beberapa insiden kemudian terutama sekali dalam isu ketetapan MCA Selangor yang kontroversial baru-baru ini pula memberi reaksi secara ekstrimistik dan chauvinistik, malah beliau bertindak luar batasan apabila memberi ucapan yang paling provokatif dalam ucapannya kepada murid-murid sebuah Sekolah di Selangor.

Apakah beliau ingin meracuni fikiran anak muda yang bersih dan masih tidak tahu menahu tentang isu politik?

Sukalah dijelaskan di sini bahawa ketetapan MCA Selangor itu telah diputar-belitkan dan dipermainkan oleh akhbar-akhbar dan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Apa yang dapat disahkan di sini ialah hak dan kedudukan istimewa orang Melayu langsung tidak disentuh dalam ketetapan tersebut.

Dan meskipun kini isu tentang ketetapan itu telah selesai dalam kabinet dalam suasana mesra dan memuaskan semua pihak, malang sekali ekstrimis UMNO masih mengunkit-ungkitkan perkara tersebut. Golongan ini diketuai oleh Datuk Mohammad Rahmat yang berdegil dan meminta Datuk Lee Kim Sai meminta maaf.

Kita berpendapat tindakan sedemikian menunjukkan mereka ini tidak langsung menghormati keputusan kabinet, malah seolah-olah mencabar kewibawaan kabinet. Disyaki pula bahawa Datuk Mohammad adalah ‘catur’ bagi golongan yang berniat menentang pentadbiran Perdana Menteri kita merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad yang mana mereka hendak mencari kesempatan mengacau ketenteraman, kesejahteraan dan mencetuskan kacau bilau di dalam masyarakat dan negara demi memperolehi apa yang dihajatinya selama ini.

Mengimbas kembali, kita mendapati sejak ucapan Datuk Abdullah Ahmad yang kontroversial dengan kegunaan perkataan ‘ketuanan Melayu’ yang mana kemudian beliau terlepas dari sebarang tindakan kerana ucapannya dianggap oleh pihak berkuasa sebagai tidak bertentangan dengan Akta Hasutan dan ia cuma pandangan individu, bukan pandangan UMNO; masyarakat bukan Melayu berpendapat UMNO telah ‘endorsed’ pandangan sempit yang telah disuarakan oleh Datuk Abdullah dan kini boleh dikatakan masyarakat bukan Melayu dalam ketakutan terhadap satu tekanan baru yang terbayang-bayang akibat daripada segala tindakan yang ekstrim iaitu ‘Sindrom Kolonialisme Melayu’.

Mereka berpendapat demikian kerana sejak ucapan Datuk Abdullah di Singapura itu, sesetengah pemimpin muda dari UMNO yang ekstrim sentiasa menonjolkan ‘keturunan Melayu’. Mereka tertanya-tanya apakah masyarakat bukan Melayu tetap menjadi hamba dan golongan yang ditadbir ataupun dijajahi yang mana orang Melayu mengambil alih peranan yang dimainkan oleh orang Inggeris sebelum merdeka?

Walaupun masyarakat kita mengalami tekanan dari ekstrimis-ekstrimis yang dimaksudkan itu, kita percaya kemantapan Perdana Menteri dan Timbalannya yang terbukti dari cara mereka menyelesaikan isu ketetapan MCA Selangor itu adalah pemimpin-pemimpin yang berjiwa kenegaraan dan mereka tidak akan membiarkan golongan ekstrim bermaharajalela!

Presiden MCA, Datuk Dr. Ling Liong Sik dalam ucapan di Perhimpunan Tahunan Ahad lalu telah mengarahkan anggota parti supaya sentiasa bersikap sederhana dalam menghadapi tekanan beberapa golongan pelampau yang hanya ingin meluakan pengaruh mereka dengan membangkitkan isu perkauman.

Ini adalah pinsip atau pendirian yang paling munasabah dalam suasana dan pembentukan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan agama. Bagaimanapun, kita menyeru golongan ekstrimis menukar sikap mereka dan turut bersemangat sederhana demi kepentingan negara.

Itulah yang seharusnya kita lakukan dalam memenuhi tanggungjawab kita sebagai pemimpin dan memainkan peranan dalam parti bagi menyemai dan menyalurkan kefahaman kepada anggota, menenang dan mententeramkan perasaan umum, menyelesaikan salah faham antara kaum dan bukannya bersikap ‘batu api’ atau pun mengapi-apikan bagi menambahkan permusuhan. Sikap yang buruk ini seharusnya dikikis, ibarat kata pepatah ‘Buang yang keruh, ambil yang jernih’ demi kesejahteraan dan ketenteraman bersama.

Kita menyeru rakyat Malaysa terutama sekali ahli politik tidak mengira keturunan dan bangsa supaya bersikap sederhana dan rasional dan saling hormat menghormati antara satu sama lain dengan niat yang baik, persaudaraan yang tulin dan erat supaya sama-sama kita bekerjasama dan bertungkus-lumus memulihkan ekonomi negara yang agak parah demi kepentingan bersama.

没有评论:

发表评论