ISU PERIBUMI yang mengambil
masa selama dua belas hari telah lega kerana ia berakhir tanpa menemui puncak
yang negatif. Bagaimanapun, masih ada yang merengek-rengek tidak puas hati.
Sementara Chan Tse Yuen dari MCA pula mengatakan bahawa UMNO banyak melahirkan
pemimpin yang chauvinis. (WATAN Edisi Sabtu 29-1-Dis ’86)
Ketetapan konvensyen MCA
Selangor yang kontroversi itu memang benar secara jelas tidak mempersoalkan
hak-hak keistimewaan orang Melayu, tetapi MCA Selangor sudah pergi lebih jauh
dari itu hingga melampaui undang-undang. MCA Selangor telah mencabar semangat
orang Melayu dan menjatuhkan maruah orang Melayu. Bagi orang Melayu tidak ada
yang lebih besar penderitaannya di atas dunia ini selain dari menanggung malu.
Soal maruah adalah soal besar. Sebab itulah timbulnya falsafah ‘dari malu biar
mati’ di kalangan orang Melayu.
Benarkah ramai pemimpin UMNO
chauvinis? Sebenarnya pemimpin UMNO bukan chauvinis tetapi bersemangat. Ini berpanjangan
dari darah keturunan pahlawan dan sejarahnya yang tidak terputus dari sejarah
asalnya. Jika dibandingkan dengan sejarah kaum-kaum lain yang terputus dari
sejarah asalnya kerana perpindahan dalam budayanya.
Dalam WATAN edisi yang lalu,
Chan Tse Yuen mengajak kita mengimbas kembali ucapan Datuk Abdullah Ahmad di
Singapura dahulu yang menyebut fasal ‘ketuanan Melayu’ dan sebagainya. Soalnya
apakah puncanya yang menyebabkan beliau terpaksa membangkitkan sampai ke situ?
Baik, sekiranya kita menganalisi
sejarah perselisihan antara kaum di negara ini, kaum bukan Melayulah memulakan
apinya. Misalnya, isu Dasar Pelajaran Kebangsaan, isu Timbalan Perdana Menteri
kedua, isu kebudayaan Nasional, Tragedi 13 Mei dan banyak lagi. Lepas
pilihanraya lalu, sewaktu semua komponen Barisan Nasional merayakan kemenangan
besar kerana dapat membentuk kerajaan semula tiba-tiba meletup dari mulut Datuk
Lee Kim Sai selaku Timbalan Presiden MCA yang mengatakan Dasar Ekonomi Barulah
yang menyebabkan masyarakat Cina menolak MCA yang membawa kepada MCA kalah
teruk.
Alangkah terhirisnya perasaan
UMNO apabila seorang pemimpin MCA, rakan dalam Barisan Nasional sendiri
mencemuh dasar yang dianggap ideal yang dipersetujui bersama bagi tujuan
mengatasi polarisasi kaum di Negara ini. Itulah sebabnya Datuk Abdullah Ahmad
bangkit untuk mengingatkan kaum-kaum lain di negara ini supaya jangan bermain
api. Jika tidak sebab itu perkataan ‘tuan’ tidak timbul. 30 tahun bukan satu
waktu yang panjang dalam jalinan sejarah Bangsa Melayu yang telah terbina
beribu-ribu tahun dahulu.
Saudara Anwar Ibrahim adalah
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia. Beliau menduduki kerusi itu dipilih
melalui ‘undi’ dari perwakilan dari seluruh negara melalui proses demokrasi.
Undi diberi atas dasar kepercayaan bahwa beliau boleh mempertahankan dan
memperjuangkan nasib orang Melayu yang dalam serba-serbi ketinggalan. Dan juga
memelihara maruah orang Melayu. Dalam menunaikan tanggungjawab itu adakalanya
beliau bersemangat dan ada kalanya beliau rasional.
Adakalanya Encik Anwar
mempertahankan orang-orang Cina di hadapan Pemuda UMNO yang emosional tetapi
perkara ini tidak pernah berlaku di kalangan pemimpin MCA yang mana
mempertahankan orang Melayu di hadapan anggota MCA dalam perkara-perkara yang
ada rasionalnya.
Sebenarnya Encik Anwar
bersemangat. Bukan chauvinistik atau sempit. Jika tidak masakan terbentuknya
ikatan Pemuda Barisan Nasional. Hari ini pemuda UMNO lebih terbuka atau liberal
dari zaman sebelumnya. ‘Kesederhanaan’ itu ada makna dan batas-batasnya. Kalau
tidak masakan begini uniknya negara ini sekarang. Apakah ertinya ‘tuan’ kepada
UMNO jika kekayaan hasil buminya dibolot oleh kaum-kaum lain sejak dari zaman
penjajah lagi.
Chan Tse Yuen menyentuh
tentang kemasukan pelajar-pelajar ke universiti tempatan tidak adil. Tafsiran
keadilan itu mengikut perspektif satu pihak sahaja. Tidak menjangkaui lebih
luas dan tidak mengketepikan pula agenda yang tersembunyi yang ada dalam diri
dalam memperkatakan keadilan.
Sejauh ini orang-orang Cina
lebih mampu menghantar anak-anak ke luar negara untuk belajar. Kadar
bilangannya lebih lima kali ganda dari orang Melayu yang dapat pergi ke luar
negeri untuk mendapatkan pelajaran. Ini bermakna pendapatan ibu bapa plejara
kaum Cina lebih ramai yang mampu.
Apabila kita membicarakan soal
penyelewengan selalunya pemimpin-pemimpin UMNOlah yang menjadi sasaran
kaum-kaum lain di negara ini. Tuduhan mereka seolah-olah orang Melayu tidak
amanah langsung. Padahal siapakah George Tan dalam skandal BMF? Siapakah lima
orang yang diburu oleh kerajaan Brunei dalam isu Bank Nasional Brunei. Kita menerima hakikat peristiwa Bank Rakyat tetapi apa yang
terjadi dengan 24 buah koperasi? Dan siapa pula yang meruntuhkan keagungan
Pan-El? Janganlah kita buat-buat tidak nampak bila terkena batang hidung
sendiri.
Saya juga mengajak Chan Tse
Yuen membicarakan soal pembangunan. Dari 452 buah kampung-kampung baru yang
diperjuangkan oleh MCA kenapa tidak dimasukkan Kampung Baru Kuala Lumpur
sebagai senarai kampung yang patut dibela? Setidak-tidaknya dimasukkan kerana
nama kampung itu Kampung Baru! Barulah ada bau-bau keadilan.
Ucapan Presiden MCA Datuk Dr.
Ling Liong Sik dalam perhimpunan Agung MCA Ahad lalu di mana menyeru anggota
MCA bersikap lebih sederhana patut disanjung. Jarang-jarang pemimpin MCA berucap
seumpama itu. Jika begitu sikap semua kaum di negara ini kita yakin cita-cita
negara untuk membina satu rupa bangsa Malaysia yang bersatu-padu tidak akan
menemui jalan buntu. Tetapi sejauh mana pula kata Datuk Dr. Ling Liong Sik itu
tidak dilangkahi oleh anggota MCA, kita menjadi saksi dalam hal ini.
没有评论:
发表评论