2012年11月26日星期一

SONGKOK, TUDUNG SATU PENINDASAN KAUM?

(Petikan drpd buku Maruah Bangsa Melayu Gagal ? terbitan April 1991)




NAMPAKNYA, tahun 1987 telah dibanjiri dengan isu-isu yang hangat lagi mendebarkan. Isu mengenai songkok dan tudung di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) adalah salah satu perkara yang mencetuskan emosi pihak-pihak tertentu.

Walaupun isu itu berlaku pada pertengahan bulan Ogos lalu tetapi hingga kini, ia masih belum reda lagi. ‘Masalah Songkok dan Tudung’ tercetus pada pertengahan Ogos apabila UTM mengadakan Majlis Konvokesyen yang mana siswazah-siswazah bukan Melayu masing-masing diwajibkan memakai songkok (lelaki) dan tudung (perempuan).

Perkara ini telah merebak dan menghangatkan perasaan masyarakat bukan Melayu. Suara bantahan dari pelbagai pihak dan lapisan jelas kedengaran.

Antaranya, parti-parti politik sama ada parti pembangkang seperti DAP ataupun parti komponen Barisan Nasional (BN) seperti MCA dan Gerakan turut membantah dengan sekeras-kerasnya peraturan memakai songkok dan tudung itu.

Satu gejala yang agak pelik wujud kemudiannya. Pemuda UMNO, sayap UMNO yang merupakan ‘Big Brother’ dalam Barisan Nasional menyuarakan dengan begitu tegas menyokong peraturan tersebut. Dengan itu, parti-parti komponen BN mula campurtangan secara terbuka.

Naib Canselor UTM, Tan Sri Ainuddin Wahid, mempertahankan peraturan itu sambil menekankan bahawa ia sudah dilaksanakan sejak awal 1980. Beliau bertanya, mengapa baru sekarang menyoal dan membantah sesuatu perkara yang telah wujud selama tujuh tahun?

Kalau kita mengimbas kembali sejarah, apabila UTM buat pertama kalinya hendak melaksanakan peraturan itu pada 1980, ia telah menerima bantahan yang keras daripada Pemuda MCA yang diterajui oleh Datuk Lee Kim Sai ketika itu.

Sejak itu, masyarakat bukan Melayu tahun demi tahun, bertubi-tubi mengulangi bantahan terhadap peraturan tersebut. Oleh kerana pihak UTM tidak peka dengan bantahan yang dilaung-laungkan itu akhirnya perasaan tidak puas hati telah tidak terkawal dan memuncak sekali lagi pada tahun ini.

Apakah ‘masalah’ memakai songkok dan tudung telah menhantui masyarakat kita dengan begitu lama? Mungkinkah perkara itu dapat diselesaikan supaya memuaskan semua pihak secara damai?

Menurut penjelasan Naib Canselor UTM Tan Sri Ainuddin, rekabentuk songkok UTM itu adalah ‘ditiru’ dari lambing Pakistan Ineternational Airlines (PIA) dan menurut beliau, dengan memakai songkok dan tudung tidak bermakna seseorang telah diIslamkan atau diMelayukan. Ia cuma merupakan pakaian upacara majlis konvokesyen sahaja.

Hujah beliau ini telah menerima sokongan daripada Naib Canselor Universiti Utara Malaysia, Prof. Tan Sri Awang Had Salleh.

Bagaimana pula pandangan masyarakat bukan Melayu?

Faktor utama masyarakat bukan Melayu membantah dan menentang pakaian songkok dan tudung di majlis konvokesyen UTM adalah kerana ia mengandungi ciri-ciri penindasan terhadap mereka.

Ini dapat difahami jika kita meninjau bagaimana songkok yang berasal dari negara India telah berakar umbi di Malaysia khasnya masyarakat Melayu sehingga ia dianggap sebagai pakaian Melayu.

Begitu juga jika kita menganalisis perkembangan agam Islam di Malaysia yang berasal dari Asia Barat yang mana tidak dapat dinafikan penyebaran Islam adalah paling berjaya di negara kita sehingga ‘Islam itu Melayu’ dan ‘Melayu itu Islam’.

Di samping itu, songkok bukan sahaja dipandang oleh masyarakat majmuk kita sebagai pakaian Melayu, ia juga dianggap sebagai pakaian Islam.

Oleh kerana itulah, apabila UTM mewajibkan graduan bukan Melayu memakai songkok dan tudung, masyarakat bukan Melayu begitu sensitif dan marah.

Mereka menganggap dengan mewajibkan orang bukan Melayu dan tidak beragama Islam memakai pakaian songkok dan tudung yang berbau penindasan dan mengandungi ciri-ciri Melayu dan Islam nescaya masyarakat bukan Melayu menganggap UTM berniat meMelayukan dan mengIslamkan mereka.

Apabila Tan Sri Ainuddin membela tindakannya dengan mengketepikan sebarang bantahan, sikapnya agak memeranjatkan kerana sebagai seorang terpelajar, beliau sehurusnya bijaksana dan rasional dalam tindakannya, tidak sempit pandangan tetapi sentiasa mengimbangi situasi. Sebaliknya, dalam isu yang dimaksud itu ‘performance’ beliau agak dikesali. Beliau sedikit pun tidak mengambil kira perasaan orang lain.

Biasanya apabila berlaku sesuatu isu, ada pihak yang suka menangguk di air keruh. Pelik sekali, dalam isu UTM itu, sebuah akhbar tempatan iaitu Utusan Malaysia turut bersikap demikian.


Dalam terbitannya pada 24-8-1987 di muka hadapan suratkhabar tersebut, ia telah menerbitkan suatu laporan yang dapat mengelirukan dan memberi gambaran tidak tepat terhadap hal sebenarnya. Laporan itu bertajuk ‘SISWAZAH-SISWAZAH BUKAN MELAYU TIDAK KEBERATAN PAKAI SONGKOK’, Utusan Melayu telah wawancara empat orang siswazah bukan Melayu yang kononnya dilaporkan sebagai ‘bersetuju’ dengan peraturan UTM itu.

Laporan itu lantas menerima tamparan daripada lebih kurang 150 orang siswazah-siswazah yang masih menuntut di UTM. Mereka beramai-ramai menandatangani dan mengeluarkan suatu kenyataan akhbar menyuarakan bantahan mereka terhadap peraturan UTM itu yang mana mereka juga menegaskan segelintir kecil pelajar bukan Melayu yang diwawancara oleh Utusan Malaysia tidak dapat mewakili pandangan mereka.

Ekoran daripada itu (pakaian songkok dan tudung), Tan Sri Ainuddin sekali lagi mempertingkatkan imej dan popularitinya dengan mempertikaikan langkah kerajaan memberikan kuota 45 peratus kepada bukan bumiputera memasuki universiti tempatan.


Menurut beliau pemberian nisbah 55 peratus bagi bumiputera dan 45 peratus bagi bukan bumiputera akan ‘menyekat’ kewujudan lebih ramai siswazah Melayu. Dengan berbuat demikian, Tan Sri Ainuddin telah melampaui batasan dan mencerobohi kuasa pihak-pihak eksekutif.

Nampaknya beliau telah lupa statusnya sebagai pegawai kerajaan yang ditugaskan untuk melaksanakan dasar-dasar kerajaan yang telah digubal oleh eksekutif, sebaliknya mempertikaikan dasar kerajaan (kuota kemsukan universiti). Beliau seolah-olah telah menceroboh dan mecabuli kewibawaan pihak penggubal dasar.

Dari isu pakaian songkok dan tudung yang ‘dicipta’ oleh Tan Sri Ainuddin dan juga suara lantangnya menegur dasar kerajaan dalam perkara kemasukan universiti, Tan Sri telah menunjukkan bakat dan kemahiran beliau memain publisiti.

Dengan itu, ada sesetengah masyarakat berpendapat dan mengesyorkan adalah lebih baik Tan Sri Ainuddin meletak jawatan dan terus menceburi ke dalam bidang politik sebagai seorang ahli politik sepenuh masa.


没有评论:

发表评论