WALAUPUN tirai pilihanraya
umum ketujuh telahpun berlabuh pada 3 Ogos lalu tetapi ‘kesan’ yang tidak
menyenangkan masih lagi timbul dan diperkatakan.
Pihak MCA salah sebuah parti
komponen Barisan Nasional mendakwa cara-cara pelaksanaan matlamat Dasar Ekonomi
Baru (DEB) adalah antara faktor-faktor utama yang menyebabkan parti itu
mengalami kekalahan yang agak teruk dalam pilihanraya yang lalu.
Kenyataan tersebut telah
mencetuskan satu kontroversi ataupun perdebatan yang mana sesetengah pemimpin
UMNO mengeluarkan kata-kata kesal atas dakwaan MCA tersebut. Di antara mereka
itu ialah EXCO Pemuda UMNO Encik Tamrin Ghafar yang telah melaungkan bantahan
terhadap MCA, di samping itu Timbalan Menteri Perusahaan Awam, Haji Daud Taha
mengingatkan MCA jangan menjadikan DEB alasan ramai calonnya tewas dalam
pilihanraya.
Pada peringkat awal timbul
sedikit kekeliruan tentang isu tersebut. Bagaimanapun, situasi ini dapat
dijernihkan semula ekoran daripada penjelasan Setiausaha Agung MCA, Datuk Lee
Kim Sai dalam satu temuramah khas dengan Utusan beberapa hari yang lalu.
Datuk Lee Kim Sai menjelaskan
kaum Cina menyokong sepenuhnya hasrat DEB untuk menyusun semula kaum dan
membasmi kemiskinan tetapi kecewa dengan perlaksanaan salah oleh para pegawai
kerajaan yang terlalu gigih (overzelous) untuk mencapai matlamat DEB bagi
kepentingan Bumiputera.
“Jangan salah faham yang kita
(MCA) menyalahkan DEB sepenuhnya terhadap kekalahan teruk MCA. Bukan pucuk
pimpinan UMNO atau kerajaan yang tidak mendengar rayuan MCA untuk kepentingan
kaum Cina tetapi cara pelaksanaan di kalangan kakitangan yang terlampau gigih,”
tambah Datuk Lee Kim Sai.
Kita bersetuju dengan
pandangan Datuk Lee Kim Sai itu. Kini telah menjadi suatu hakikat yang tidak dinafikan
kalangan bukan Bumiputera khasnya masyarakat Cina memang merasa kesal dengan
banyak penyelewengan dalam perlaksanaan DEB yang menjejaskan kepentingan mereka.
Terlalu banyak misalan dalam
konteks ini baik pun dari segi peluang melanjutkan pelajaran ke institusi-institusi
pengajian tinggi tempatan atauapun dalam bidang perniagaan, yang mana peluang
bukan Bumiputera tersekat ataupun dalam ertikata lain tidak diberi kesempatan
langsung untuk mendapatkan sebarang tender ataupun kerja-kerja dari kerajaan.
Malah, masyarakat Cina juga
merasa tertekan dan teraniaya oleh pihak kerajaan. Perasaan yang tidak sihat
ini timbul disebabkan terlalu banyak peraturan ataupun sekatan dalam
pentadbiran kerajaan dari hampir semua peringkat.
Sehubungan ini adalah
munasabah kita menghuraikan beberapa contoh untuk difahami oleh para pembaca
akan masalah ataupun tekanan yang kaum Cina alami.
a) Pejabat pos seringkali
mengeluarkan arahan-arahan yang pelik iaitu tandatangan dalam tulisan Cina
adalah tidak sah dan tidak boleh diterima oleh pihak berkuasa jabatan tersebut.
Arahan seperti ini adalah umpama sebiji ‘bom’ yang menyinggung perasaan
masyarakat Cina, sedangkan perlembagaan negara menjamin kebebasan dalam
penggunaan bahasa lain dalam bidang buku rasmi, hujah kaum Cina bahawa tandatangan
tidak mencerminkan cara tulisan, tetapi lebih mirip kepada tanda ataupun
‘lukisan’ kerana kebanyakan tandatangan tidak langsung wujud atau mirip sebarang
bahasa tetapi cuma menunjukkan cara atau gaya orang yang menurunkan tandatangan
itu.
Kaum Cina merasa marah
terhadap arahan yang dianggap sebagai kurang munasabah dan kepada sesetengah
golongan arahan itu seolah-olah berbunyi ‘anti-Cina’.
b) Beberapa majlis perbandaran
seperti Taiping, Kuantan, Batu Pahat dan lain-lain mengeluarkan arahan bahawa
daging babi panggang tidak boeh didedahkan pada umum bahkan penjualannya
hendaklah secara tersembunyi.
Masyarakat Cina tersinggung
oleh arahan yang dianggap sebagai menghina maruah kaum Cina.
Mereka juga berpendapat bahawa
pihak perbandaran berkenaan telah mencabar kewibawaan perlembagaan negara yang
menjamin kebebasan rakyat dalam kegiatan-kegiatan agama.
Pada pandangan ramai, arahan
seperti ini dikeluarkan semata-mata berdasarkan daging babi adalah haram bagi
orang Muslim. Lantaran inilah maka tidak elok bagi mereka membiarkan daging
babi panggang didedahkan pada orang Muslim.
Justeru itu, masyarakat Cina
berhujah berdasarkan alasan yang sama, daging lembu juga tidak boleh didedahkan
pada umum dalam proses penjualan kerana daging itu adalah haram bagi orang
beragama Hindu dan Buddha.
Jika cuma daging babi panggang
yang disekat dalam penjualan sahaja menunjukkan pentadbiran yang bercorak
ketidakadilan dan berat sebelah.
c) Sejak permulaan DEB, kerajaan
telah mengutamakan masyarakat Melayu yang mana sesetengah kakitangan kerajaan
yang terlalu gigih itu telah menyeleweng daripada kaedah-kaedah yang ditetapkan
oleh DEB menyebabkan perasaan tidak puas hati timbul di kalangan bukan
Bumiputera meningkat.
Banyak lagi kejadian-kejadian
dan perkara yang berbunyi tidak adil berlaku kepada kaum bukan Bumiputera
tetapi sebagai contoh cukuplah hanya ini yang dipaparkan dan harapan agar
penjelasan yang pendek ini akan membuatkan masyarakat lain sedar apa yang
dialami oleh kaum bukan Bumiputera.
Perkara-perkara tersebut bukanlah
bertujuan hendak menyinggung mana-mana pihak tetapi sebagai seorang rakyat
Malaysia yang bertanggungjawab dan menyertai negara, kita percaya untuk menjaga
kepentingan negara dari segi jangka panjang tidak perlulah kita menyembunyikan
perkara yang tidak sihat, ibarat kata pepatah Inggeris yang berbunyi ‘Sweeping
dirt under the carpet’ (menyembunyikan sampah di bawah permaidani).
Semua pandangan dan kata-kata
dalam ruangan ini adalah kenyataan bernas dan membina. Ia adalah sekadar untuk
membuka mata pemimipin dan tokoh-tokoh negara agar membuat sesuatu ataupun
memperbetulkan perkara yang telah berlaku demi kesejahteraan dan kemakmuran
negara.
Dari pergaulan dengan rakyat
dari berbilang kaum dan lapisan kita dapati bahawa rakyat jelata pada amnya
menyintai kesejahteraan dan kemakmuran negara dan memang telah sedia wujud
persahabatan yang tulin dan harmoni.
Tetapi yang sedihnya, banyak
percanggahan dan perasaan tidak senang antara kaum timbul akibat dariapda tindakan
atau kenyataan ‘orang politik’ ataupun kakitangan kerajaan yang terlampau
gigih.
Disyorkan tokoh-tokoh politik
dan kakitangan kanan kerajaan mengambil kesempatan bergaul dengan orang bawahan
dan orang-orang kampung dan kita pasti mereka akan dapati bagaimana jujurnya
hubungan mereka sesama sendiri.
Kita percaya bagi mereka yang
mempunyai kewibawaan yang tinggi pasti akan berfikir dahulu sebelum mengeluarkan
sebarang arahan dan sebagainya dan tidak akan sewenang-wenangnya mengambil
tindakan yang melampau batas.
Janganlah semata-mata hendak
menjaga kepentingan sendiri untuk mendapatkan sokongan dan pengaruh di
kalangan pengundi, kita membuat kenyataan dan mengeluarkan arahan yang boleh
menyinggung perasaan kaum lain yang mana mungkin akan menimbulkan suasana
tegang dan benci ke atas sesuatu kaum.
Walaubagaimanapun, kita tetap
yakin rakyat Malaysia pada amnya tetap menyintai dan mengasihi akan
kesejahteraan dan keharmonian negara. Rakyat mengharapkan agar
pemimpin-pemimpin dan tokoh-tokoh politik akan berfikir dahulu sebelum
mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menimbulkan suasana tegang antara
kaum.
Semangat cintakan negara dan
perasaan muhibah antara kaum yang memang telah sedia terjalin dan dipupuk
sentiasa janganlah diganggu-gugat.
没有评论:
发表评论