2012年11月26日星期一

PAS Kelantan

(Petikan drpd buku Maruah Bangsa Melayu Gagal ? terbitan April 1991)



“FAHAMILAH HASRAT BUKAN ISLAM”

SETELAH ‘membelasah’ Barisan Nasional di kesemua kerusi Dewan Undangan Negeri di Negeri Cik Siti Wan Kembang dalam pilihanraya umum ke lapan pada 21.10.1990 lalu, PAS yang menerajui Angkatan Perpaduan Ummah kembali mentadbir negeri tersebut.

Sejak itu, pelbagai perubahan telah cuba dilaksanakan oleh pemimpin PAS yang mana ‘kekelipannya’ bukan sahaja menyilaukan mata orangramai malahan ada di antara pengumuman-pengumuman berkenaan menjadikan pihak-pihak tertentu terpinga-pinga.

Pentadbiran ‘baru’ itu membuka tirainya dengan beberapa langkah yang agak memberangsangkan. Menteri Besar, Haji Nik Aziz Nik Mat sendiri memotong 45 peratus daripada gajinya dan elaun-elaun kerajaan beliau yang turut dikurangkan untuk disalurkan ke tabung kebajikan rakyat. Dalam waktu yang sama, anggota-anggota Dewan Undangan Negeri PAS juga bersedia untuk menyumbang dari pemotongan 20 peratus elaun mereka bagi tujuan tersebut.

Langkah seperti ini bukan setakat menjimatkan perbelanjaan malahan apa yang lebih bermakna ialah memberi suatu teladan yang sungguh baik kepada pegawai-pegawai kerajaan negeri supaya turut mengamalkan cara pemerintahan dan juga kehidupan sederhana dan mengelakkan daripada bermewah-mewah.

Dari segi pentadbiran apa yang telah dilakukan oleh pemerintah PAS itu harus diberi pujian.

Dalam hubungan lain, PAS juga bercadang untuk meminda perlembagaan negeri bagi membolehkan kerajaan negeri melantik kalangan bukan Islam untuk menjadi Anggota Dewan Undangan Negeri bagi mewakili dan menyuarakan pandangan masyarakat bukan Islam. PAS mendakwa ini adalah satu-satunya dasar parti itu untuk berlaku adil kepada semua lapisan masyarakat Kelantan termasuk juga bukan Islam.

Jelas bahawa pihak pentadbiran PAS Kelantan mencuba bersungguh-sungguh untuk memikat hati masyarakat bukan Islam. Tetapi keghairahan PAS untuk melaksanakan hukuman hudud dalam pentadbiran negeri tersebut sekaligus menebalkan semula rasa curiga masyarakat bukan Islam terhadap partinya.

Walaupun baru-baru ini Menteri Besar, Haji Nik Aziz telah memberitahu bahawa Kerajaan Negeri tidak tergesa-gesa untuk melaksanakan hukum hudud, akan tetapi beberapa tindakan yang telah diambil sebelum ini telah membangkitkan keresahan di kalangan bukan Islam.

Dalam pada itu, Kerajaan Negeri telah mengatakan ia akan mengkaji semula mengenai penjualan minuman keras dan pajak gadai serta lessen berkaitan dengan konsert rock, tempat-tempat hiburan atas sebab kononnya ini semua tidak berjiwa Islam. Tindakan tersebut terbukti bahawa pihak pentadbiran PAS langsung tidak menghormati pihak minority di negeri Kelantan.

Walaupun secara adil kepada pihak pentadbiran PAS mereka tidak menyatakan bahawa hukum hudud tetap akan dilaksanakan terhadap orang bukan Islam. Tetapi dengan tidak membenarkan penjualan minuman keras dijual di kedai-kedai tertentu dan sebagainya merupakan suatu pencabulan terhadap hak-hak bukan Islam yang mana amalan cara hidup mereka membenarkan mereka minum arak atau sebgainya.

Ini adalah bertentangan dengan konsep dan semangat demokrasi yang mana pihak minoriti harus mematuhi kehendak majoriti dan sebaliknya pihak majoriti pula hendaklah menghormati hak dan maruah pihak minoriti. Dalam hubungan ini walaupun pihak majoriti adalah terdiri daripada Anggota-anggota Dewan Undangan Negeri PAS yang mana mereka telah menubuhkan kerajaan yang berasaskan pemerintahan Islam tetapi kebebasan minoriti yang berada di dalam negeri tidak harus dilupakan sama sekali.

Bagaimanapun, masyarakat bukan Islam tidak begitu hairan terhadap pendirian pentadbiran PAS yang dimaksudkan itu kerana menurut perlembagaan parti itu memang perjuangan PAS adalah perjuangan Islam.

Walaupun ada sesetengah kalangan berasa terpedaya oleh PAS kerana pada beberapa tahun kebelakangan ini (sejak awal 1986 -  menjelang pilihanraya umum ke tujuh) PAS telah mengaturkan satu strategi untuk memikat hati masyarakat bukan Islam.

Dengan lain perkataan menurut cabangannya iaitu CCC pada ketika itu (1986) PAS telah member ‘jaminan’ bahawa ia seolah-olah akan memberi layanan yang lebih adil kepada masyarakat bukan Islam dan menjelang pilihanraya umum ke lapan lalu, PAS juga menegaskan pendirian yang sama.

Justeru itu pengumuman pentadbiran PAS di negeri Kelantan yang tetap hendak melaksanakan hukuman hudud dan mencabuli hak kebebasan masyarakat bukan Islam adalah ibarat pepatah Tionghua, ‘sepandai-pandai serigala menyamar, akhirnya terdedah juga ekornya’.

Satu senario yang agak pelik sudah pun timbul. PAS yang melakukan sesuatu yang tidak menyenangkan masyarakat bukan Islam terutama masyarakat Tionghua tetapi sebaliknya rakan-rakan yang pernah bersekongkolan dengan PAS iaitu DAP pula dipersalahkan.

Di samping itu pertubuhan-pertubuhan seperti Gabungan Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia dan Persekutuan Persatuan Sekolah-sekolah Cina (kedua-duanya disebut ‘Dong Jiao Jong’) yang ‘bersealiran’ dengan Angkatan Perpaduan Ummah dalam menunaikan aspirasi dua parti sistem tetap juga dikecam.

Umum mengetahui sepanjang masa berkempen dalam pilihanraya umum yang lalu, anggota dan juga pemimpin DAP ‘berpeluk-pelukan’ dan bekerjasama kuat dengan pihak PAS. Ini sedikit sebanyak menyumbangkan ke arah prestasi yang cemerlang yang telah di capai oleh PAS di negeri Kelantan.

Dalam hubungan yang sama Dong Jiao Jong yang mengetahui akan matlamat perjuangan dan latar belakang PAS itu samar-samar di bawah slogan hendak menjayakan impian dua parti sistem juga memberi sokongan secara terbuka kepada Pas.

Akhirnya PAS yang berjaya di Kelantan. Impian besar DAP dan DJJ berkecai ibarat ‘ayam terlepas tangan berbau tahi’ dan kini masyarakat Tionghua berdendang ‘ Ni jen Mor Sock’ atau ‘Apo Nak Dikato’ terhadap DAP dan DJJ yang mana sama-sama tidak dapat memberi sebarang jawapan.

Tanda tanya sekarang ini ialah apakah masyarakat Tionghua akan turut diperdaya oleh DAP dan DJJ pada pilihanraya umum yang akan datang?

没有评论:

发表评论