Sejak Pas kembali mentadbir
Kelantan setelah kemenangan besar dicapainya dalam pilihanraya umum Oktober
1990 lalu, pentadbiran tersebut umpama duri dalam daging kepada Kerajaan Pusat
yang dikemudikan oleh Barisan Nasional. Setiap gerak-geri yang dilakukan oleh
Kerajaan Negeri itu diikuti dengan penuh perhatian. Motifnya adalah jelas.
Hampir setengah tahun berlalu,
kini terdapat tanda-tanda menunjukkan populariti parti PAS sudah mula menurun.
Dalam pada itu, kaum wanita
merupakan golongan pertama yang berasa kurang senang hati dengan Pas yang
berura-ura akan mengenakan beberapa larangan ke atas wanita, termasuk tidak
dibenarkan bekerja pada waktu malam yang terus menjejaskan pendapatan kaum
wanita.
Tindakan yang lebih mendatangkan
kesan buruk bukan setakat dalam negeri Kelantan; malah, pada seluruh negara
iaitu dalam keghairahan Pas melaksanakan pentadbiran ala Islam, telah
mengintroduksi beberapa peraturan yang menggusarkan masyarakat bukan Islam dan
sekaligus membangkitkan kebimbangan.
Kerajaan Pas telah mengenakan
larangan penjualan arak dan sekatan ke atas tempat-tempat hiburan turut
menjejaskan kebebasan masyarakat bukan Islam.
Perkembangan ‘mengislamkan’
segala-galanya yang disahut oleh badan-badan bukan kerajaan dalam negeri
tersebut sehingga menyekat kebebasan bukan Islam itu telah menimbulkan
perhatian dan keresahan masyarakat bukan Islam di seluruh negara.
Dalam hubungan ini, mulai Mac
(1991) lalu, Hotel Perdana Negeri Kelantan dilarang menjual sebarang arak dan
berdisko dalam hotel tersebut. Berikutan ini, beberapa Anggota Dewan Undangan
Negeri (DUN) Pas dari negeri Terengganu telah mendesak Kerajaan Negeri
Terengganu supaya ikut jejak Hotel Perdana dengan menghapuskan arak dan disko
di Hotel Primula yang dipunyai oleh Kerajaan Negeri Terengganu.
Perkembangan terbaru yang
berlaku di Hotel Perdana dan desakan DUN yang serupa nada itu telah membawa kesan
yang tidak sihat. Pertama, ia telah menebalkan perasaan syak wasangka
masyarakat bukan Islam terhadap masyarakat Islam dan terhadap kerajaan pemimpin
PAS itu. Kedua, ia akan menjejaskan imej negara dalam mata dunia yang pasti
meragu-ragukan sama ada negara kita betul-betul mengamalkan sikap saling
hormat-menghormati kebebasan beragama.
Raykat negara ini harus berasa
bangga kerana sejak dulu lagi kerajaan telah mengamalkan sikap kebebasan
beragama yang mana rakyat yang terdiri daripada berbagai agama bebas melakukan
segala aktiviti-aktiviti agama mereka tanpa disekat atau dihalang. Dan rakyat
sendiri sudah tahu bagaimana melaksanakan ‘self-restraint’ untuk saling
menghormati agama antara satu sama lain. Ini merupakan satu tradisi malah satu
kebudayaan kepunyaan Malaysia yang menjadi lambing keluhuran Malaysia dalam
dunia ini!
Malangnya, berikutan tindakan
PAS dan juga pengikut-pengikut seperti Hotel Perdana, tradisi yang kita
banggakan itu mungkin dinodai dan hancur.
Masyarakat bukan Islam tidak
mempertikaikan hak masyarakat Islam dan kerajaan, baikpun kerajaan Pusat atau
Negeri Kelantan merancang peraturan-peraturan atau aktiviti-aktiviti demi
mempertingkatkan dan memelihara agam Islam. Bagaimanapun mereka tetap berasa
tersinggung terhadap tindakan Kerajaan Negeri Kelantan dan Hotel Perdana yang
mana dalam keghairahan demikian telah menyekat kebebasan, bahkan mencabul hak kebebasan
keagamaan bukan Islam.
Cuba kita merenung sekejap
rasionalnya tindakan-tindakan yang menjejaskan kebebasan bukan Islam itu. Kita
sudah sekian lama mengamalkan sikap saling menghormati di antara rakyat yang
terdiri daripada keturunan dan keagamaan yang berlainan.
Kita semua sudah tahu hak dan
larangan masing-masing. Ada undang-undang mengawal sebarang pencerobohan
ataupun kesalahan. Kita sentiasa menggalakkan rakyat dari semua lapisan dan
latar belakang berlainan, sama ada ras atau agama, caca merba supaya
betul-betul mewujudkan satu masyarakat yang berharmoni dan bersatu padu. Kini
PAS pula cuba menghancurkannya.
Cuba kita bayangkan, dalam
sebuah hotel, sebuah tempat awam yang dikunjungi oleh semua orang, tidak
mengira ras, agama atau sebagainya. Dek pepatah Inggeris “One man’s meat is
another’s poison”, bukan setiap benda
dalam dunia ini sesuai untuk setiap orang. Tetapi hanya oleh kerana arak dan
disko menjadi larangan orang Islam maka menghapuskan benda itu dari tempat
kunjungan ramai seperti sebuah Hotel adalah satu tindakan keterlaluan yang
langsung tidak mengambil kira perasaan bukan Islam, malah, telah mencabuli
kebebasan mereka.
Dan, dengan berbuat demikian,
pada hakikat, merupakan “memaksa bukan Islam mengikut cara hidup Islam” (tidak menyentuh
arak dan tidak berdisko). Perkara seperti ini amat merbahaya. Bukan setakat
menimbulkan kesangsian antara rakyat kita berlainan agama, malah bagaimana
dunia akan memandang kepada kita?
Kita masih teringat menjelang
dua pilihanraya umum lepas (1988 dan 1990), PAS dalam usaha memikat hati
masyarakat bukan Islam, terutamanya masyarakat Tionghua, telah mengambil
inisiatif mendekati slogan “Adil kepada semua” dan setengah-setengah antara
mereka yang “arif” seperti anggota Chinese Consultative Counsil! (CCC) yang
ditubuhkan oleh PAS sendiri dan juga DAP, begitu rapat berpeluk-peluk dengan
PAS kini bertanggungjawab untuk memberi penjelasan terhadap tindakan PAS
sekarang.
Perkembangan di Kelantan bukan
suatu perkara yang sihat. Ia mungkin menjelaskan keharmonian anatara rakyat
berbilang agama negara ini.
Bagaiamanapun, yang pasti
ialah masyarakat Tionghua tidak akan percaya “cakap-cakap manis” PAS lagi.
Demi kestabilan dan untuk
memastikan perpaduan negara tidak terjejas, kerajaan pusat harus campur tangan
untuk menghentikan tindakan Kerajaan Negeri Kelantan dan badan-badan yang
menjadi pengikutnya dari meneruskan perbuatan yang tidak rasional itu.
没有评论:
发表评论