Maruah
Bangsa: MELAYU GAGAL?
Setelah mengambil masa dua tahun akhirnya
Majlis Perundingan Ekonomi Negara (MAPEN) telah menyerahkan satu laporan yang
setebal 600 halaman kepada Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad pada
Sabtu lalu (8 Februari 1991).
Umum mengetahui laporan yang dinamakan Dasar
Ekonomi Untuk Pembangunan Negara (DEPAN) akan menjadi panduan kepada kerajaan
untuk merangka Dasar Ekonomi Negara selepas 1990.
Menurut pengerusi MAPEN Tan Sri Ghazali Shafie,
laporan tersebut tidak menumpukan kepada satu-satu bangsa, sebaliknya bertujuan
membangunkan semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum. Sehubungan itu ia
mencerminkan matlamat yang sama untuk semua.
Kenyataan Tan Sri Ghazali tersebut telah
mencerminkan pendirian yang adil dan memberi harapan kepada rakyat jelata,
terutamanya masyarakat bukan bumiputera yang keresahan dan bimbang sama ada
Dasar Ekonomi Negara selepas 1990 akan merugikan mereka.
Tidak dapat dinafikan, Dasar Ekonomi Baru (DEB)
yang mula dilaksanakan pada awal 1970-an telah menimbulkan pelbagai kontroversi
sepanjang tempoh pelaksanaannya selama dua puluh tahun.
Sebagai rumusan, ia menjadi igauan masyarakat
bukan bumiputera yang sentiasa merungut DEB merugikan mereka. Di sebaliknya
masyarakat bumiputera pula mendakwa mereka masih belum mencapai matlamat.
Pendek kata, masing-masing tidak berpuas hati.
Saya agak kurang bernasib baik kerana tidak
berpeluang untuk mengambil bahagian dalam MAPEN. Bagaimanapun, berdasarkan
semangat kebangsaan dan demi manfaat semua dan negara, saya tetap memberikan
sedikit pandangan yang bernas terhadap penggubalan Dasar Ekonomi Negara pada
masa hadapan.
Pada dasarnya, saya harus menegaskan bahawa
sekiranya mengambil kira keadaan pada 1970-an DEB perlu dan patut dilaksanakan
untuk memperbaiki ketidakseimbangan dalam bidang eknomi di antara kaum. Dalam
pada itu tumpuan yang lebih telah diberikan untuk menolong kaum bumiputera yang
agak jauh ketinggalan dalam bidang ekonomi.
Memang adalah tidak sihat dan mungkin merbahaya
jika terwujud suatu masyarakat yang mana satu golongan telah menguasai eknomi
dan yang lain terlalu lemah. Dalam keadaan pengagihan kekayaan negara yang
tidak seimbang mudah menimbulkan rasa tidak puas hati syak wasangka yang
berkecenderungan menjejaskan keharmonian di antara golongan-golongan berkenaan.
Sebagai negara majmuk keadaan yang dimaksudkan itu harus dielakkan.
Dari rungutan yang disuarakan sepanjang tempoh
20 tahun kebelakangan ini terdedahlah masyarakat bumiputera dan bukan
bumiputera masing-masing kurang memahami kedudukan dan perasaan pihak lain.
Dalam hubungan ini terdapat pandangan agak
serong yang harus diperbetulkan.
Pihak penggubal Ekonomi Negara harus memahami
dan mangakui hakikat bahawa kekayaan yang ada pada orang-orang Tionghua itu
datangnya dari usaha mereka sendiri. Kisah ‘Apek’ bangun sebelum lalat terbang
untuk bekerja sehingga larut malam baru berehat adalah perkara kebiasaan di
kalangan Tionghua. Di samping itu mereka pandai berjimat. Dengan bertungkus
lumus bekerja dan mengikat perut. Mereka sepatutnya mempunyai kedudukan ekonomi
yang lebih maju dan setimpal dengan titik peluh yang dikeluarkan. Ini tidak
boleh diirihatikan oleh sesiapa. Tetapi dengan pelaksanaan DEB aktiviti-aktiviti
perniagaan mereka seolah-olah terkekang, peluang untuk mendapat lesen dan
kemudahan atau bantuan kerajaan begitu terhad jika dibandingkan dengan
rakan-rakan kaum bumiputera. Pada awalnya mereka kurang memahami bahawa mereka
sedang menempuhi arus DEB yang mana keutamaan harus diberi kepada rakan
bumiputera dalam tempoh pelaksanaan dasar tersebut. Apablia memahami kedudukan
sebenar, kebanyakan masyarakat bukan bumiputera mula bersikap sabar dan rela
‘terhincut-hincut’ buat sementara untuk menunggu rakan bumiputera memperbaiki
dan mempertingkatkan kedudukan eknomi. Mereka mempunyai tanggapan bahawa pada
tamatnya DEB ‘kepincangan’ akan pulih.
Menjelang ke akhir 1990 terdengar suara-suara
yang dilafazkan tentang soalan sama ada DEB akan diteruskan. Ketua Pergerakan
Pemuda UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak berlakon seperti ‘badut’ dengan
mengeluarkan dakwaan ‘sejarah terhutang kepada Melayu’.
Mungkin beliau tidak sedar bahawa sebagai
seorang raykat yang setia dan bermaruah kita harus bertanya kepada diri kita
sendiri apa sumbangan kita kepada negara dan bukan apa yang negara berhutang
kepada kita. Jika mengikut dakwaan Datuk Seri Najib, apakah tidak mungkin
cucu-cicit Yap Ah Loy bangun mendakwa berdasarkan sejarah negara kita terhutang
kepada ‘keluarga Yap’ maka mereka boleh menuntut pemberian harta benda atau
martabat tanpa usaha diri mereka sendiri. Bagaimana pula kita hendak melayan
tuntutan satu keluarga di Melaka yang juga mendakwa dari segi sejarah bahawa
takhta kesultanan Melaka harus dipulangkan kepada mereka? Maka perbahasan yang
mungkin timbul dari situ tidak akan berakhir sampai bila-bila.
Sebagai seorang rakyat berketurunan Tionghua,
saya memahami perasaan dan keresahan masyarakat Tionghua tentang dasar ekonomi negara pada masa hadapan. Tetapi dalam soal menamatkan dasar ekonomi negara
yang menyerupai DEB yang memberi perlindungan dan keistimewaan kepada
bumiputera, saya berpendapat, bumiputera sendirilah yang harus lebih ghairah
melihat dasar sebegitu dihapuskan seberapa awal yang mungkin. Saya yakin
pandangan ini adalah hasrat dalam hati sanubari tokoh pemimpin-pemimpin negara
terutamanya Perdana Menteri Datuk Seri
Dr. Mahathir Mohamad sendiri.
Sekiranya kita mengkaji kenyataan dan
pandangan Perdana Menteri pada masa-masa yang lampau semangat beliau
berkobar-kobar ingin meletakkan bangsa Melayu pada satu tahap yang maju dan
benar-benar berdikari. Pandangan seperti
ini dapat dilihat dari banyak ucapan beliau yang sentiasa mengingatkan
kaum bumiputera supaya jangan terlalu bergantung kepada kerajaan tetapi
sebaliknya harus berikhtiar dan berusaha untuk berdiri di atas keupayaan
sendiri.
Jemaah menteri dan pemimpin-pemimpin Melayu
lain turut memberi pandangannya yang sealiran dengan Perdana Menteri. Justeru
itu, boleh dikatakan Perdana Menteri kita dan kebanyakan pemimpin-pemimpin UMNO
sekarang mempunyai visi yang panjang dan rasional. Bagaimanapun buat sekarang
ini nampaknya Perdana Menteri terhimpit dan serba salah dalam membuat keputusan
untuk merangka dasar ekonomi Negara dalam 1990-an. Ini adalah kerana sekirannya
kita mengekalkan dasar ekonomi negara yang memberi banyak perlindungan kepada
bumiputera ia bermakna bumiputera masih tidak boleh berdikari. Berdasarkan
cita-cita Perdana Menteri yang dimaksudkan itu, maka tidak hairanlah beliau
sentiasa tertanya-tanya kepada diri sendiri bagaimana suatu bangsa yang tidak
boleh berdikari boleh melaungkan dengan tegas slogan ‘maruah bangsa’?
Justeru itu, sekirannya satu Dasar Ekonomi yang
menyerupai DEB 1971-1990 digubalkan selepas ini, ia bermakna maruah bangsa
Melayu akan terjejas, dengan lain perkataan, apabila sesetengah pemimpin Melayu
melaung mahu DEB diteruskan, merekalah yang cuba menggagalkan maruah bangsanya sendiri.
Ini disebabkan Melayu masih tidak boleh
berdikari dan terpaksa bergantung kepada dasar tersebut yang mana mereka
menjadi “manusia subsidi”, lemah dan tidak berkeupayaan dan sentiasa hidup di
atas kesusahan kaum lain.
Sedangkan pada realiti yang ada sekarang, tanpa
DEB bangsa Melayu sudah pun berjaya dan benar-benar mampu menyaingi bangsa
lain. Kita sudah melihat ada orang Melayu yang menjadi Datuk Bandar dan
usahawan di negara asing, melahirkan ramai intelek yang berkeupayaan dan
disegani seperti profesor Syed Naquib Al Attas yang tidak dilahirkan di bawah
DEB, termasuk Datuk Seri Dr. Mahathir kerana usahanya sendiri.
Apa yang ada dalam penilaian Perdana Menteri
sekarang ini ialah sejauh manakah matlamat DEB itu tercapai dan sejauh mana
kemampuan bumiputera dapat ditingkatkan?
Cadangan MAPEN sebagaimana yang telah dilafazkan
oleh Tan Sri Ghazali mungkin telah memberi satu jawapan yang agak munasabah
iaitu masa hadapan untuk semua tidak mengira batasan kaum akan disambut baik.
Untuk memastikan bumiputera memantapkan diri
dalam bidang ekonomi dan semua usaha yang telah dicurahkan dalam tempoh DEB
yang lalu tidak berkecai, mungkin langkah-langkah perlu diambil dalam dasar
ekonomi negara yang akan digubalkan itu untuk member bimbingan dan asuhan
kepada pengusaha-pengusaha bumiputera. Tetapi hasrat dan perasaan bukan bumiputera
tidak boleh diketepikan.
Sungutan bukan bumiputera bahawa timbulnya
penyelewengan dalam perlaksanaan DEB yang menjejaskan kepentingan bukan
bumiputera harus diambil perhatian.
Dalam usaha memberi tumpuan yang terlalu berat
kepada bumiputera bagi tujuan mengimbangi ketidakseimbangan yang ada pada awal
70-an (masyarakat Tionghua lebih maju dan bumiputera lemah di bidang ekonomi),
apakah sebaliknya akan mewujudkan ketidakseimbangan semula bagi kaum bukan
bumiputera?
Penggubal dasar ekonomi negara harus mempunyai
pandangan rasional dan memandang semua kaum sebagai anggota dalam satu keluarga
yang mana kepentingan mereka harus dipelihara bersama.
Bagaimanapun kita harus mengamalkan sikap
positif tentang dasar ekonomi negara dan memahami bahawa itu semua adalah untuk
melahirkan sebuah negara yang harmoni dan bersepadu. Dalam pada ini saya
mengesyorkan bahawa kerajaan dapat melonggarkan peraturan-peraturan yang
terkandung dalam DEB dahulu agar perniagaan perkongsian di antara bumiputera
dan bukan bumiputera dapat digalakkan. Dengan cara ini bukan sahaja bumiputera
dapat mempelajari kemahiran berniaga dari kaum lain, di samping itu mereka juga
boleh mengujudkan persefahaman dan mengeratkan persahabatan. Ini tentunya dapat
menyumbang ke arah perpaduan negara. Pihak kerajaan tidak seharusnya memandang
di sudut perniagaan sahaja malah di bidang lain juga.
Dengan pandangan positif dan persefahaman di
antara satu dengan lain serta berusaha ke arah yang sama, saya yakin hari esok
akan lebih bersinar untuk kita semua.
没有评论:
发表评论