2012年11月26日星期一

Kebudayaan Kebangsaan Malaysia

(Petikan drpd buku Maruah Bangsa Melayu Gagal ? terbitan April 1991)


Kebudayaan Kebangsaan Malaysia:
‘BUDAY PAKSA?’

“Tidur sebantal, mimpi lain-lain”, pepatah Tionghua ini menyifatkan bagaimana keadaan “kamceng” sepasang suami isteri yang tidak “ngam” agak tepat sekali untuk membayangkan kedudukan masyarakat majmuk kita yang terdiri daripada pelbagai kaum, adat, agama dan budaya yang mana adalah kebiasaan terdapat percanggahan pandangan tentang sesuatu perkara ataupun polisi negara.

Kebudayaan kebangsaan negara telah menjadi satu isu yang paling kontroversial sebaik sahaja ia disyorkan oleh Kongres Kebudayaan Kebangsaan (KKK), anjuran pihak swasta pada 1971 yang mana ahli-ahli budaya dan cerdik pandai telah meluluskan tiga ketetapan sebagai asas kebudayaan kebangsaan iaitu:-

i.                  Kebangsaan hendaklah berteraskan kepada kebudayaan rakyat asal rantau ini.
ii.        Unsur-unsur kebudayaan lain yang sesuai dan wajar boleh diterima menjadi unsur kebudayaan kebangsaan.
iii.                Islam menjadi unsur yang penting dalam pembentukan kebudayaan kebangsaan.

Perlu diperhatikan bahawa pada tahun 1973, Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan telah menerbitkan sebuah buku koleksi kertas kerja KKK bertajuk “Asas Kebudayaan Kebangsaan” dengan memberi keterangan dalam buku tersebut yang berbunyi: “Pendapat-pendapat yang dikemukakan dalam kertas kerja ini adalah pendapat penulis sendiri dan tidak semestinya merupakan pendapat-pendapat Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan”.

Pendirian kementerian tersebut jelas menunjukkan kerajaan tidak (ataupun setakat itu belum) menerima ketetapan KKK. Hingga hari ini, kerajaan masih tidak pernah memberi sebarang pengumuman rasmi tentang sebarang perubahan pendirian tersebut.

Tetapi satu perkembangan yang luar biasa dan mengejutkan telah berlaku. Jabatan Penerangan Malaysia dalam terbitan risalah Dasar Kerajaan (Ogos 1990) dengan senyap-senyap menyelitkan ke dalamnya ketetapan KKK tersebut di bawah tajuk “Dasar Kebudayaan Kebangsaan”. Dengan lain perkataan, pada zahir dan ‘rasmi’nya ketetapan KKK tiba-tiba telah menjadi DASAR KERAJAAN.

Saya telah menulis surat kepada Menteri Kebudayaan dan Pelancongan, Datuk Sabbaruddin Chik untuk bertanya sama ada kerajaan berubah pendiriannya terhadap cadangan KKK. Malangnya surat berkenaan seperti dibakulsampahkan, langsung tidak dibalas.

Persoalan yang menarik sekarang ialah, apakah Menteri Penerangan, Datuk Mohamad Rahmat menyeleweng dan bertindak di luar batasan? Apakah beliau langsung tidak mempedulikan pendirian kerajaan yang mana dengan memenuhi nafsunya sendiri memasukkan ketetapan tersebut dalam risalah itu ataupun sebaliknya kabinet kita telah bersetuju dengan ketetapan tersebut dan Datuk Mohamad hanya melaksanakan dasar baru kerajaan sahaja yang mana ia bermakna pemimpin-pemimpin (menteri-menteri) bukan Melayu umpama talam dua muka, memperdaya dan menyembunyikan hakikat sebenar dari masyarakat bukan Melayu di samping berpura-pura seperti tiada sebarang perubahan pernah berlaku?

Hingga sekarang, perkara ini tetap menjadi misteri yang tidak terjawab.

Setelah membaca kertas kerja yang dibentangkan dalam KKK, saya berpendapat, walaupun saya menghormati pandangan-pandangan (para cendekiawan) berkenaan, mereka seolah-olah meluahkan fikiran dari ‘menara gading’ kerana rumusan ini tidak selari dengan realiti. Terdapat perkara yang remeh temeh dan tidak logik telah dikemukakan oleh para ahli-ahli ilmiah ini sebagai dasar/pokok.

Tidak dinafikan ramai cerdik pandai bersetuju (walaupun tetap menyokong ketetapan KKK) kebudayaan sesuatu kaum atau negara wujud secara evolusi yang mana sekiranya kerajaan kita dengan sengaja mahu membentuk kebudayaan kebangsaan, mungkin Malaysia akan menjadi negara pertama dan tunggal dalam dunia ini yang berbuat demikian.

Sikap cerdik pandai tersebut dengan mengketepikan hakikat bahawa kebudayaan adalah sesuatu yang dinamik dan mempunyai hayat, sentiasa berubah-ubah serta berkembang dari masa ke semasa di samping saling mempengaruhi antara satu tamadun dengan yang lain. Oleh itu boleh dikatakan mereka yang mengamalkan sikap sempit dan berbau perkauman tanpa mengambil kira realiti ibarat ‘berfikir hingga ke hujung tanduk’.

Berpandukan kepada tiga ketetapan KKK dengan hujah “kebudayaan kebangsaan hendaklah berteraskan kepada kebudayaan rantau ini” menunjukkan para cerdik pandai tersalah tempat dan mereka yang menghadiri KKK ini telah mendedahkan kekusutan fikiran dan bertindak seolah-olah tidak tahu apa yang sebenarnya dikehendaki.

Faktor yang lain adalah ganjil sekali dan sukar diterima bahawa dalam usaha menubuhkan identiti kebudayaan kebangsaan, keadaan sebenar dalam tanah air sendiri diketepikan: sebaliknya berteraskan kebudayaan rantau ini yang merangkumi kawasan Malaysia, Indonesia, Filipina, Singapura, Brunei, Thailand, Kampuchea, Kepulauan Selatan Pasifik (Polynesia, Malanesia dan Oceania) sehingga Malagasi. Nampaknya mereka yang berkenaan sudah lupa tujuannya adalah cuba membentuk kebudayaan Malaysia dan bukan ‘Kebudayaan Rantau Asia’.

Selain daripada unsur-unsur Melayu, kebudayaan rantau ini merangkumi kebudayaan Thai, Vietnam, Kampuchea, Filipina, Tionghua, India, Barat dan lain-lain, apakah kita perlu memasukkan kesemua unsur itu dalam kebudayaan kebangsaan kita kerana kebudayan tersebut tetap wujud dalam rantau ini walaupun tidak dalam bumi Malaysia?

Menurut ketetapan KKK, kebudayaan kebangsaan yang dibentuk suatu hari nanti berteraskan kebudayaan Melayu dan unsur-unsur Islam. Cadangan ini sebenarnya bertentangan dengan realiti masyarakat kita yang majmuk dan menganut pelbagai agama.

Sekiranya cadangan KKK itu diterima oleh kerajaan, lantas ia akan menyekat kebudayaan suku kaum lain negara ini dalam bentuk masyarakat yang berlainan dengan kebudayaan Melayu menduduki tingkat yang terunggul dan kebudayaan kaum lain itu dijadikan hamba yang mana suka atau tidak, kebudayan kebangsaan terwujud demikian menyerupai kebudayaan kolonialisme.

Kongres Kebudayaan 1971 adalah dianjurkan oleh pihak swasta. Masyarakat bukan Melayu tidak mempunyai wakil sebagaimana sepatutunya dan tidak berpeluang meluahkan pandangan atau pendirian mereka, apatah lagi bersetuju di atas ketetapan tersebut. Sekiranya kerajaan gagal mengambil kira hakikat ini dan terus menerima dengan ‘mentah-mentah’ ketiga-tiga ketetapan itu dan mengenakan tekanan ke atas pelaksanaannya, maka kebudayaan sedemikian merupakan ‘kebudayaan paksaan’.

Justeru itu, demi perpaduan dan keharmonian rakyat, ketetapan KKK yang banyak menimbulkan syak wasangka dan tidak puasan di antara kaum sepanjang dua puluh tahun kebelakangan ini, kerajaan perlu bersikap tegas dan tidak memberi pengiktirafan sama sekali kepada ketetapan tersebut.

Kebudayaan adalah membayangkan kewujudan suatu bangsa atau tamadun sama ada sebagai bukti bahawa bangsa atau tamadun berkenaan pernah wujud dalam sejarah. Kebudayaan sesebuah negara cuma refleksi kedudukan sebenar negara berkenaan dan terutamanya apa jenis manusia yang bermastautin di situ pada suatu masa yang tertentu. Justeru itu, mengungkit kepada sejarah sepertimana yang suka dilakukan oleh sesetengah cerdik pandai cuma membuktikan keadaan atau kedudukan masyarakat pada masa yang dirujukkan sahaja. Akan tetapi, menurut perkembangan semasa, apa yang wujud sekarang patut diambil kira dan sebagai orang yang rasional mesti mengakui hakikat ini. Kita tidak boleh menafikan hakikat bahawa Malaysia adalah sebuah negara majmuk yang diduduki oleh rakyat berbilang kaum, bangsa yang mempunyai pelbagai kepercayaan dan agama.

Pemimpin-pemimpin negara kita sering menekankan bagaimana kerajaan hendak mentadbir dengan saksama; tetapi kesaksamaan sepatutnya wujud dalam semua bentuk. Sekiranya kita bersikap berat sebelah dan terlalu menonjolkan sesuatu kaum sepertimana yang berlaku dalam percubaan sesetengah golongan dalam usaha merekabentuk kebudayaan kebangsaan yang mana kebudayan Melayu dijunjung dan kebudayaan kaum lain diturunkan martabatnya maka dengan adanya ketidaksamaan ini secara natural tentunya boleh menimbulkan syak wasangka dan ketidakpuasan antara kaum secara berterusan. Jadi bagaimana kita boleh memupuk rasa perpaduan ini?

Kita masih teringat bekas menteri Kebudayaan Belia dan Sukan, Datuk Samad Idris (kini Tan Seri) yang pernah melahirkan pandangan yang sempit sehingga menyakitkan hati masyarakat Tionghua dengan mencadangkan tarian singa, satu-satunya kebudayaan kaum Tionghua diubahsuai mengikut unsur  tempatan dijadikan tarian harimau.

Datuk Samad gagal menghalusi bahawa walaupun pada zahirnya tarian singa di negara ini menyamai negara Cina, Taiwan ataupun Hong Kong; namun tarian singa di Malaysia sepatutnya dilihat dari persepsi yang luas yang mana akan terdapat perbezaan yang amat ketara dari segi inti dan semangatnya dengan tarian singa di negara asing itu.

Kewujudan tarian singa di bumi Malaysia melambangkan dan juga membuktikan kepelbagaian kebudayaan negara ini.

Di mata dunia, kepelbagaian kebudayaan negara kita adalah satu keistimewaan dan keunggulan. Dan ini adalah berkat sejarah yang menguntungkan Malaysia.

Boleh diibaratkan Malaysia mempunyai banyak permata sebagai khazanah negara. Malangnya kerana kesempitan fikiran sesetengah golongan yang hanya mahu memilih satu bentuk permata iaitu kebudayaan Melayu dan sekaligus mengketepikan permata lain sebagai batu tidak bernilai.

Kekayaan khazanah MaIaysia yang terbayang dari kepelbagaian kebudayaan sudah lama menjadi perkara yang diperhatikan oleh negara-negara asing. Sampai hatikah kita sendiri yang menolak ataupun mengurangkan kekayaan ini?

Kerajaan harus sedar, rakyat merupakan ‘hakim’ yang memutuskan sama ada sesuatu polisi kerajaan popular atau tidak. Misalnya jika kebudayaan kebangsaan kita yang direka bentuk mengikut kaedah ketetapan KKK tersebut dan dilaksanakan dengan paksaan (sekiranya kerajaan tetap berdegil mahu berbuat demikian) masyarakat bukan Melayu akan enggan menerimanya.

Banyak peristiwa yang pernah berlaku dalam negara ini pada masa lampau membuktikan bagaimana “budaya paksa” boleh menimbulkan ketidakpuasan.

Misalnya peristiwa mahasiswa bukan Melayu diwajibkan memakai songkok dalam konvokesyen di sebuah universiti tempatan tiga tahun dahulu telah menimbulkan kemarahan masyarakat bukan Islam.

Ura-ura sesetengah pemimpin Melayu yang hendak menghapuskan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil tanpa menghormati hak orang-orang Tionghua dan India mempelajari bahasa ibunda mereka yang terpelihara oleh Perlembagaan Negara malahan Perlembagaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Penolakan cek yang didakwa ditandatangani dengan ‘tulisan Cina’ adalah satu-satunya peristiwa yang menyayat hati masyarakat Tionghua dan dianggap sebagai satu penghinaan dan penghalangan terhadap penggunaan bahasa Cina.

Papan tanda yang digantung oleh para peniaga yang mana tulisan Cina dihadkan kepada saiz yang jauh lebih kecil daripada bahasa Malaysia juga dirasai oleh masyarakat ini sebagai suatu ‘paksaan’ dan halangan terhadap penggunaan bahasa di kalangan bukan rasmi yang terjamin oleh Perlembagaan tetapi telahpun disalahgunakan oleh pegawai yang terlalu ghairah.

Umum mengetahui, dalam kehidupan seharian dan demi keselesaan, sesetengah kaum bukan Melayu juga suka memakai sarong apabila berada di rumah atau pada waktu rehat. Bagaimanapun, kebanyakan kaum Tionghua tidak berani atau tidak rela memakai sarong keluar dari halaman rumah mereka masing-masing. Dalam hubungan yang sama, pada masa kini jarang kita dapat melihat wanita bukan Melayu memakai sarong kebaya lagi. Sikap negatif seperti ini timbul dari perasaan anti-paksaan tadi.

Jadi, terbuktilah perwatakan manusia yang tidak suka dipaksa untuk mengalah atau menuruti sesuatu. Lebih kuat tekanan, maka lebih kuat pula kuasa tentangan.

Saya masih teringat seorang cerdik pandai yang dihormati iaitu Pak Samad (A Samad Ismail pernah mengeluarkan pandangan yang paling saksama tentang ura-ura pembentukan kebudayaan kebangsaan. Beliau berkata; “ Saya tak fikir kerajaan boleh buat apa-apa melainkan mendorong, merangsang dan menunjuk”.

Sebenarnya rakyat negara yang berbilang kaum ini sudah lama ‘caca marba’ dan secara evolusi kebudayaan kepelbagaian sudah berakar umbi dalam masyarakat kita.

Pada bila-bila masa kita boleh masuk sebuah kedai kopi dan menikmati makanan yang sudah diubahsuai pelabagai kebudayaannya. Kita boleh megikut selera sesuka hati dan bebas terus menikmati yong tau foo, nasi lemak, capati, roti canai, teh terbang dan sebagainya.

Sesetengah cerdik pandai yang terlalu ghairah mengatakan kebudayaan kebangsaan kita harus direkabentuk dan menitikberatkan budaya Melayu serta Islam. Sikap sebegini boleh menimbulkan syak wasangka kaum bukan Melayu dan bukan Islam kerana mereka bimbang akan diasimilasikan. Ini terbukti dari pertelagahan yang tidak terhenti-henti dalam dua puluh tahun kebelakangan ini iaitu semenjak adanya ketetapan KKK.

Saya bersedia untuk berhujah dengan mereka bagi membuktikan apakah itu kebudayaan Melayu yang sebenarnya? Umum mengakui kebanyakan kebudayaan Melayu seperti pakaian dan alat-alat muzik, bukanlah milik mereka yang asli. Apabila ‘benda’ itu dikembalikan kepada negara asal, tentunya yang tinggal di dalam kebudayaan Melayu adalah mirip ‘ala budaya bogel’.

Selain itu, sama ada dalam bidang-bidang fikiran, kebendaan, kesenian ataupun kebanyakan nilai dan norma seharian kita sudah mempunyai serta menerima keistimewaan antara satu sama lain. Biarlah kebudayaan kebangsaan negara kita dibentuk secara evolusi dan bebas dari sebarang tekanan ataupun niat asimilasi.

Kebudayaan yang wujud melalui proses evolusi itu bukan sahaja setakat menunjukkan kekayaan dan kepelbagaiannya, bahkan ia akan membuktikan kepada seluruh dunia sikap liberal kerajaan kita.

Negara kita akan disanjung oleh dunia luar kerana berjaya memupuk perpaduan rakyat berbilang kaum melalui sistem pemerintahan yang bertoleransi dan sanggup menerima pelbagai nilai-nilai budaya.

没有评论:

发表评论