2012年11月26日星期一

JANGAN PERTIKAI BAHASA KITA

(Petikan drpd buku Maruah Bangsa Melayu Gagal ? terbitan April 1991)



Dalam Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini, Naib Presiden UMNO Encik (kini datuk Seri) Anwar Ibrahim memberitahu perwakilan dan pemerhati bahawa kerajaan akan terus melaksanakan dasar pendidikan negara dengan menyelaraskan kehendak dan falsafah Laporan Razak dan Laporan Rahman Talib yang mana beliau tidak akan berganjak seinci pun.

Ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 1989 mengenai kementerian beliau di persidangan Dewan Rakyat pada 10 November lalu, Encik Anwar mengulangi pendirian kerajaan tersebut.

Dalam kenyataan itu, beliau menekankan bahawa kita harus mengamalkan sikap rasional terhadap pendidikan dan jangan menghadapi perkara itu dengan pandangan perkauman yang sempit.

Kita memang sependapat dengan Encik Anwar itu. Bagaimanapun kita keliru sedikit dan kurang faham mengapa beliau ‘berikrar’ kepada para hadirin di Perhimpunan Agung UMNO yang beliau tidak akan berganjak dalam perlaksanaan tugasnya.

Ini telah memberi suatu gambaran kepada khalayak ramai bahawa dasar pendidikan negara ataupun kedaulatan bahasa kebangsaan, iaitu Bahasa Malaysia telah pun tercabar oleh kalangan tertentu.

Kita sudah cuba mencari jawapan tentang maksud sebenar mengapa Encik Anwar berikrar dengan membuat pertanyaan kepada orang lain tetapi tidak memperolehi jawapan yang memuaskan; setelah memikirkan perkara ini, kita dapat tafsirkan bahawa ia cuma cara politik Encik Anwar, nak 'main' sedikit untuk mendapatkan populariti.

Selain daripada itu, kita bersetuju dengan pandangan beliau terutama sekali penekanan beliau bahawa kita harus mengamalkan sikap rasional terhadap soal pendidikan dan jangan menghadapi perkara ini dengan pandangan perkauman yang sempit.

Falsafah ini sepatutnya menjadi suatu amalan kepada rakyat Malaysia dan pihak kerajaan. Jika kita dapat mengutamakan soal pendidikan (tentunya harus termasuk soal bahasa) dengan pandangan yang luas, masyarakat majmuk ini tidak akan sering terheret ke kancah pertelagahan mengenai isu bahasa.

Dari pemerhatian penulis sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kita telah membuat kesimpulan yang ringkas tetapi menakjubkan, iaitu pihak Kementerian Pendidikan tidak mempunyai keyakinan yang tinggi atau dengan lain perkataan mereka seolah-olah mempunyai 'inferior complex'. Perasaan inilah mengakibatkan sesetengah pemimpin (pendidikan atau bahasa) terasa kononnya kedudukan Bahasa Malaysia mungkin akan tergugat oleh bahasa lain.

Untuk memperkukuhkan kedudukan Bahasa Malaysia, pelbagai peraturan diketengahkan yang mana kaum lain turut merasa 'terancam' kononnya kebebasan menggunakan bahasa ibunda mereka telah tercabar. Dan salah anggapan tersebut menimbulkan pertelagahan dari perkara pendidikan dan bahasa pada masa lampau.

Berpandukan pendekatan yang rasional dan pandangan yang lebar, kita ingin membincangkan tentang perkembangan bahasa Inggeris.

Beberapa ratus tahun dahulu, bahasa Inggeris adalah suatu bahasa yang kasar, mundur dan tidak mempunyai kedudukan yang luhur di benua Eropah.

Mujurlah 'rakyat Mat Salleh' ketika itu mempunyai pandangan yang luas terhadap bahasa. Mereka sedikit pun tidak merasa segan akan keluhuran bahasa lain yang lebih maju dan digunakan oleh bangsa-bangsa lain di negara jiran. Dengan pendekatan yang jauh dari fahaman sempit, mereka pun berusaha untuk memperkayakan bahasa Inggeris dengan meminjam dan menyerapkan bahasa asing ke dalam bahasa mereka.

Dalam perlaksanaan itu, mereka meminjam bahasa Perancis, Greek, Normandy, Italy, German dan juga China. Sehingga ini, kita masih dapat mengesan dengan jelas bahasa asing dalam bahasa Inggeris.

Setelah proses penyerapan bahasa asing, bahasa Inggeris sudah pesat berkembang dan hari ini, ia merupakan satu bahasa yang paling halus dan cantik di dunia ini. Mungkin pakar bahasa akan mendakwa ini adalah hasil dari pergaulan kebudayaan. Benar! Tapi kalaulah "Mat Salleh" tidak mengamalkan sikap terbuka keadaan menjadi sebaliknya pula.

Berbalik kepada negara kita, sejak beberapa puluh tahun lalu, terutama sekali sejak penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka kita telah menyaksikan perkembangan pesat dalam bahasa Malaysia. Bahasa Malaysia sedang menuruti jejak kaki "Mat Salleh" dahulu, yang bezanya ialah bahasa Malaysia telah berkembang dengan langkah yang lebih laju.

Ini sedikit sebanyak disebabkan dunia sekarang adalah dunia yang moden dan maju, segala-galanya juga bergerak laju. Kita yakin bahasa Malaysia akan menjadi bahasa yang kaya-raya (dari segi penyerapan bahasa asing yang lebih dari bahasa Inggeris), halus dan cantik suatu hari nanti.

Justerus itu, kita harus terus mengamalkan sikap yang liberal dan pandangan lebar terhadap perkembangan bahasa Malaysia; di samping itu oleh sebab kita mempunyai keyakinan tentang masa hadapan bahasa Malaysia, kita harus meninggalkan pandangan sempit terhadap bahasa lain.

Dalam hubungan ini, umum mengetahui Perkara 152 (1) (b) Perlembagaan Persekutuan kita telah menjamin kedudukan rasmi yang tidak mungkin tergugat oleh sesiapa pun, malahan bahasa lain juga dapat dipergunakan di kalangan rakyat.

Dengan hasrat dan kemahuan semua rakyat yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan yang begitu jelas, adalah menghairankan bagaimana pelbagai isu boleh timbul dari kegunaan bahasa-bahasa. Ini mungkin adalah kerana sesetengah kalangan terutama pegawai kerajaan salah faham akan semangat Perlembangaan Persekutuan itu.

Dalam pada itu, satu contoh yang kita bentangkan di bawah ini jelas menunjukkan bagaimana tanggapan yang salah boleh menimbulkan isu. Beberapa tahun dahulu, di negara ini telah berlaku isu papan tanda. Beberapa majlis daerah dan majlis perbandaran telah pun menggubal peraturan atau undang-undang kecil yang mana menitikberatkan kedaulatan bahasa Malaysia yang mana tulisan itu mesti ditulis di tempat teratas sekali dalam sesuatu papan tanda dan tulisan lain mestilah lebih kecil.

Sekirannya kita menuruti nasihat Encik Anwar dengan mempunyai pandangan rasional dan mengelakkan fikiran sempit terhadap isu bahasa, maka perkara itu tidak mungkin berlaku sama sekali.


没有评论:

发表评论