Dewan Negara:
BAGAIMANA
MAHUNYA
SIDANG Dewan Negara sessi
pertengahan tahun (1988) sudahpun berakhir baru-baru ini. Seperti biasa, ia
gagal menarik perhatian ramai.
Tetapi suatu gejala yang sudah
menjadi kebiasaan tetap berulang kali ini, kita masih mendengar keluhan
daripada orangramai, termasuk media massa, tentang kelemahan Dewan yang mulia
itu dan “performance” anggotanya. Dalam pada itu persoalan sama ada Dewan
Negara dan juga Senator-senator merupakan ‘Rubber Stamp’ lumrah dipertikaikan.
Banyak desakan mahukan kerajaan membentuk semula Dewan Negara dan
mempertingkatkan mutu anggotanya. Ada juga sesetengah pengkritik radikal
berpendapat Dewan Negara patut dibubarkan sama sekali.
Apakah kritikan-kritikan
umpama itu tepat ataupun tidak berasas? Sebelum kita dapat mencari sesuatu
jawapan yang munasabah dan memuaskan, kita harus ‘meneropong’ secara ringkas
komposisi dan fungsi ‘The House of Lords’ dari Britain yang bersamaan dengan
Dewan Negara kita. Kita meminjam Sistem Pentabiran dari bekas negara penjajah
itu.
Sebenarnya ‘The House of
Lords’ juga mengalami banyak kritikan dari pelbagai lapisan masyarakat negara
itu. Pada November 1867 kerajaan Britain (ketika itu diterajui oleh Parti
Buruh) pernah memulakan perbincangan formal dengan dua parti pembangkang utama
negara itu bertujuan untuk mencari suatu formula yang boleh diterima oleh semua
pihak bagai membentuk semula Dewan tersebut.
Persetujuan bersejarah yang
diharap-harapkan itu tidak tercapai berpunca daripada faktor-faktor politik
tertentu di luar dugaan. Bagaimanapun sejak permulaan abad ini, kerajaan
Britain dari masa ke semasa telah berjaya menjalankan pembentukan semula
sebanyak empat kali ke atas “The House of Lords”. Namun Dewan itu masih menjadi
cemuhan masyarakat Britian! Antara kritikan yang dilaungkan ialah jawatan di
Dewan itu merupakan pengujudan dari perbuatan tendang ke atas (kicking
upstairs).
Sekirannya kita mengkaji
fungsi “The House of Lords” dengan teliti dan serius, kita akan mendapati
bahawa ia boleh menjalankan beraneka peranan. Selain daripada sebelas orang
hakim tertinggi dalam Sistem Kehakiman Britain (Lords of Appeal in Ordinary) ia
merupakan Dewan Kedua (Second Chambers) yang paling berkesan dalam bidang
legislatif. Kerapkali ia berjaya memaksa Parlimen (the Commons) memikir
kembali Rang Undang-undang ‘The Foreign Compensation Act 1969’ yang
bertentangan dengan hasrat The Commons dan akhirnya berjaya juga dalam gerakan
tersebut. Dalam tahun 1972 Dewan Senat itu pernah mencadangkan 610 pindaan ke
atas suatu rang undang-undang . Selain daripada itu “The House of Lords” juga
sentiasa mengambil inisiatif untuk menyusuli rang undang-undang (selain
daripada perkara yang membabitkan kewangan) yang bukan merupakan perkara yang
paling mustahak dari segi nasional. Semua ini membuktikan “The House of Lords”
benar-benar aktif dalam usaha menjalankan tugas sebagai Dewan Kedua dengan
berkesan.
Kalau dibandingkan dengan “The
House of Lords”, prestasi Dewan negara kita agak mengecewakan, kerana fungsi
dan kecekapannya jauh daripada memuaskan. Boleh dikatakan semua sessi
persidangannya berjalan dengan licin dan cepat. Mengapa tidak? Anggota-anggota
Yang Berhormat kita kebanyakannya mengambil bahagian dalam sessi persidangan
Dewan Negara bersikap sambil lewa.
Pada keseluruhannya mereka
seperti kanak-kanak tadika, bangun untuk membentang soalan (itupun cuma menyebut
nombor soalan saja); jika menteri berkenaan yang bangun dan menjawab soalan
‘mood’ kurang baik dan main ‘tai-chi’ dengan berdolak-dalih mereka pun “kelu
lidahnya” dan tidak boleh ataupun tidak berani berbuat apa-apa. Jarang ada
soalan tambahan, jarang ada senator yang terserlah. Sebarang rang undang-undang
yang telah diluluskan oleh parlimen pasti akan diluluskan juga oleh Dewan Negara
tanpa banyak perbahasan atau kritikan dan juga tanpa sebarang pindaan. Dewan
Negara langsung tidak berpeluang dan lebih tepat lagi tidak dibenarkan untuk
memainkan peranan sebagai ‘watch-dog’ kepada Dewan Rakyat. Dalam keadaan
sedemikian adalah ketara Dewan Negara kita terpaksa menjadi “Rubber Stamps” sahaja.
Sebenarnya baikpun soalan bertulis mahupun soalan tambahan, kebanyakannya
perkara remeh-temeh. Jarang ada sesuatu idea yang boleh dicedok oleh kerajaan
ataupun biasanya mengulangi soalan yang ditimbulkan di Dewan Rakyat. Mungkin
sebab itu ada sesetengah pengkritik pernah menyifatkan Senator kita seperti
pelawak tetapi oleh kerana persembahannya bercorak ‘cahang’, rakyat (pembayar
cukai) tidak terhibur.
Dalam keadaan begini tidak
hairanlah ada juga pengkritik mendakwa Senator kita cuma makan gaji buta kerana
mereka bertanggungjawab kepada mana-mana kawasan tertentu. Jadi apalah Dewan
Negara kita dan para anggotanya merupakan ‘yang lebih punya?’ Buang masa dan
membazirkan wang rakyat?
Oleh itu, sudah sampai masanya
kerajaan berbuat sesuatu untuk memberi nafas baru kepada Dewan Negara kita dan
menghapuskan imejnya sebagai ‘Old Folks Home’. Jangan membiarkan Dewan Negara
berkekalan sebagai tempat perlindungan politik (politik asylum) berpunca
daripada politik “balas budi”. Berikanlah lebih ‘kuasa’ dan ruang kepada
anggota Dewan Negara supaya berani, liberal untuk mengkritik. Para Senator
sendiri juga perlu menerobos hanya dengan “performance” yang bersemangat lagi
bermutu bagi menangkis pelbagai sindiran kononnya Dewan Negara dan anggotannya
adalah ‘Rubber Stamps’ belaka.
没有评论:
发表评论