2012年11月26日星期一

APA JAMINANNYA?

(Petikan drpd buku Maruah Bangsa Melayu Gagal ? terbitan April 1991)


AKTA RAHSIA RASMI:
APA JAMINANNYA?

PERNAH ditulis dalam ruangan ini mengenai Akta Rahsia Rasmi (OSA) tidak lama dahulu dengan memberi gambaran tentang baik buruknya pembentangan pemindaan akta tersebut.

Perkembangan terbaru menunjukkan semua wakil rakyat Barisan Nasional bersepadu dan akan menyokong kerajaan di Dewan Rakyat apabila Rang Undang-undang (pindaan) Akta Rahsia Rasmi (OSA) dibentangkan untuk pembacaan kali kedua Disember ini.

Keputusan ini adalah hasil daripada penjelasan yang diberikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad dalam perjumpaannya dengan Wakil Rakyat Barisan National.

Jurucakap Anggota Parlimen, Datuk Mohamed Rahmat berkata rakyat tidak perlu bimbang mengenai takrif akta itu kerana setiap dokumen yang di anggap sulit akan diberi tanda pangkah. Beliau juga memberitahu penjelasan Perdana Menteri telah berjaya menghapuskan setiap keraguan rakyat dan sekarang ini hanya mereka yang bersalah sahaja takut dengan OSA.

Pengumuman Datuk Mohamed Rahmat itu tidak meyakinkan sama sekali kerana anggota Yang Berhormat sahaja yang berpeluang mendengar penjelasan dari Perdana Menteri dan bukan semua rakyat.

Ketika ini segolongan rakyat mungkin merasa keliru di atas kontroversial yang timbul dari pindaan OSA yang dicadangkan itu. Pandangan tersebut tentu bercanggah. Pihak kerajaan berkali-kali memberi jaminan tiada apa-apa yang perlu dikhuatir kerana ia bukan bertujuan menganiaya sesiap. Perdana Menteri sendiri menarik perhatian bahawa hampir 30 tahun akta itu dikuatkuasakan hanya tiga orang sahaja didakwa di mahkamah. Beliau mendakwa golongan yang menentang OSA sengaja membuat tafsiran yang salah terhadap akta itu tanpa mengambil kira cara akta itu dikuatkuasakan sebelum ini.

Sebaliknya kita juga mendengar suara bantahan yang begitu lantang termasuk dari bekas pemimpin-pemimpin negara seperti ‘Bapa Kemerdekaan’ Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Tun Hussein Onn, bekas Juruaudit Negara, Tan Sri Nordin Zakaria, Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJ) dan Persatuan Peguam (Bar Council).

Apakah mereka yang membangkang pindaan itu terlalu ghairah, sensitif atau takut kepada bayangan sendiri?

Pada hematnya, segala bantahan dan kekhuatiran mengenai pindaan akta tersebut adalah berasas.

Perlu diingatkan juga bahawa jika seseorang didakwa di mahkamah, para hakim tidak akan mengambil kira jaminan-jaminan yang dikeluarkan oleh pemimpin negara apabila menjatuhkan hukuman. Mahkamah cuma memberi pertimbangan dan tertakluk kepada undang-undang yang berkuatkuasa dan juga contoh-contoh keputusan mahkamah dahulu (authorities).

Kerajaan sering memberi jaminan mengenai takrif OSA dan menjelaskan setiap dokumen yang di anggap sulit akan diberi tanda pangkah.

Di sini kita ingin merujuk kepada satu keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Datuk Haji Zulkifli Datuk Abdul Hamid lawan pendakwaraya (Kota Kinabalu-Federal Court Criminal Appeal No. 3 1980 MLJ 1981 muka surat 112) yang mana pihak perayu telah dipersalahkan atas tuduhan menerima maklumat Rahsia Rasmi dan sekeping dokumen Rahsia Rasmi dan menyampaikan kepada pihak lain.

Tuduhan yang didakwa adalah pihak perayu telah menerima satu salinan surat yang diutuskan oleh Ketua Menteri Sabah yang dialamatkan kepada Menteri Luar Negeri yang mana beliau memahami dokumen itu adalah dokumen rahsia dan disampaikan kepada pihak lain.

Beliau menyatakan ia menerima salinan itu melalui pos biasa. Persoalannnya adalah sama ada maklumat ataupun dokumen itu rahsia? Pihak perayu mendakwa kepada mahkamah bahawa dokumen berkenaan yang pada suatu ketika di anggap sebagai rahsia kehilangan takrif rahsia kerana kandungannya telah diketahui umum.

Mahkamah Persekutuan tetap mempersalahkan pihak perayu dan memutuskan antara lain: sesuatu dokumen tidak akan kehilangan takrifnya sebagai dokumen rahsia hanya kerana orang yang tidak berkuasa telah mencuri dan menyalinnya serta mengirimkan melalui pos kepada pihak perayu tanpa nama; dan ia juga tidak kehilangan rahsianya meskipun surat berkenaan mengandungi maklumat yang telah diketahui umum.

Kita percaya para pembaca tentu berasa terkejut dan takut apabila membaca keputusan Mahkamah Persekutuan itu. Dan dari contoh keputusan itu kita pasti segala jaminan oleh pemimpin-pemimpin negara tidak memberi apa-apa kesan untuk membela seseorang yang mungkin didakwa di bawah OSA kelak.

Oleh itu untuk melenyapkan segala keresahan rakyat perlulah kerajaan menunjukkan kejujurannya dengan mengambil langkah yang positif supaya memperkenalkan ke dalam pindaan OSA itu perenggan yang mengecualikan orang-orang yang teraniaya.

Rakyat Malaysia yang bersemangat demokrasi dan bersedia mematuhi undang-undang tidak berkeyakinan terhadap ‘jaminan-jaminan’ yang dikeluarkan oleh pemimpin-pemimpin negara. Apa yang diharapkan adalah lebih baik jika jaminan itu terus dicatat dalam Rang Undang-undang ataupun peraturan-peraturan yang berkenaan.


没有评论:

发表评论