AKTA RAHSIA
RASMI:
ADAKAH IA
PERLU?
MENJELANG Disember 1986 satu
era baru dalam sejarah akan tercipta bagi tanahair kita. Barangkali ia adalah
sejarah hitam. Ini adalah berkaitan dengan Akta Rahsia Rasmi (OSA).
Sebenarnya OSA di rangka
begitu rupa pada 1972 telah di anggap sebagai satu rang undang-undang yang agak
berat. Parlimen ketika itu diberitahu bahawa rang undang-undang itu hanya untuk
memerangkap pengintip dan agen kerajaan asing. Dan cuma dua orang warganegara
Malaysia sahaja yang di tuduh mempunyai tali perhubungan dengan misi asing telah
diberkas di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Salah seorang daripada
mereka itu menafikan semula pengakuan yang telah dilakukan dahulu dan mendakwa
penangkapan beliau adalah berdasarkan motif politik.
Malangnya orang yang
bertanggungjawab dalam penangkapan beliau iaitu Tan Sri Ghazali Shafie membisu.
Ini menjadikan ‘peristiwa’ tersebut sebagai satu misteri yang tidak diketahui
umum!
Namun OSA yang banyak
mencetuskan kontroversi ini pernah dibentangkan dalam Parlimen pada Mac lalu
tetapi tidak dibahaskan dan telah ditunda kerana kerajaan buat masa ini
mengambil kira bantahan yang agak keras daripada pelbagai pihak yang tertentu
termasuk wartawan dan pengarang.
Bagaimanapun kerajaan selepas
itu telah meminta draf undang-undang tersebut supaya takrif rahsia dapat di
rumus dengan lebih jelas. Beberapa pindaan seperti fasal baru telah
diperkenalkan. Antaranya menyekat sebarang dokumen, maklumat atau benda yang di
anggap dokumen rahsia rasmi.
Dalam pada itu rakyat pada
keseluruhannya merasa gentar dan khuatir terhadap takrif rahsia rasmi yang
dimuatkan dalam OSA itu kerana ia terlalu luas dan menyeluruh. Ia adalah
seperti berikut:
a) Dokumen, rekod atau keputusan
dan perbicaraan kabinet termasuk jawatankuasa kabinet;
b) Dokumen, rekod atau keputusan
dan perbincangan Majlis Kerja Negeri (Exco) termasuk jawatankuasa-jawatankuasa
Exco;
c) Dokumen mengenai perhubungan
antara kerajaan pusat dan negeri;
d) Dokumen mengenai keselamatan
negara, pertahanan dan perhubungan antarabangsa;
e) Dokumen menganai atau
berkaitan nasihat, pendapat atau perakuan mengenai operasi dan fungsi kerajaan;
f) Dokumen mengenai ekonomi
negara, seperti yang berkaitan dengan mata wang, cadangan belanjawan dan
pelaburan asing dan
g) Dokumen mengenai tawaran tender
yang berkaitan pembelian, pemberian kerja, bekalan, perkhidmatan dan projek
kerajaan.
Apa yang lebih dahsyat sekali
ialah OSA juga berhasrat memberi kuasa kepada Menteri Dalam Negeri menambah,
mengurang dan meminda peruntukan dalam jadual berkenaan.
Dalam pembacaan pertama OSA
itu, pihak berkuasa telah mentakrifkan rahsia rasmi dalam empat jenis yang mana
ia bermaksud sebagai dokumen, maklumat atau benda yang di tanda ‘rahsia besar’,
'sulit’ dan ‘terhad’.
Dalam hal ini sesiapa sahaja
yang tidak berkuasa tetapi didapati menyimpan atau menggunakan meklumat seperti
di atas boleh dikenakan hukuman penjara mandatori sekurang-kurangnya satu
tahun. Ini bermakna, semua denda yang dikenakan menurut Akta Rahsia Rasmi 1972
iaitu akta asal telah dimansuhkan sama sekali. Kesalahan-kesalahan
mengikut Akta 1972 itu cuma membawa hukuman penjara tidak lebih dari 14 tahun
atau denda $20,000 atau kedua-duanya sekali.
Tetapi perbezaan yang ketara
sekali ialah mengikut akta asal itu seseorang yang didapati bersalah dalam
mahkamah tidak akan dikenakan penjara mandatori bahkan hakim berkenaan yang di
anggap sesuai dan berpatutan berdasarkan latar belakang tiap-tiap kes tersebut.
Ramai berpendapat OSA yang
dalam proses perangkaan itu adalah lebih teruk dan dahsyat daripada Akta 1972
yang juga sebagai satu rang undang-undang yang tidak adil.
Mengikut OSA itu selain
daripada Undang-undang Kanun Keseksaan seseorang tertuduh diwajibkan
membuktikan bahawa beliau pernah menolak apabila sesuatu maklumat disampaikan kepada beliau. Para pendakwa cuma perlu membuktikan sesuatu ‘item’ mengandungi maklumat tertentu adalah di dalam simpanan tertuduh
dan sekaligus menyifatkan sebagai ‘rahsia’ atau ‘terhad’.
Kini surat layang masih
berleluasa dan sesiapapun mengkin pada satu ketika akan dipersalahkan dan
akibat daripada itu dikenakan penjara mandatori kerana menurut OSA sesuatu
dokumen ataupun surat layang yang dalam simpanan atau kepunyaan seseorang itu
pada bila-bila masa sahaja boleh ditakrifkan sebagai rahsia rasmi oleh menteri
ataupun pegawai kerajaan berkenaan.
Dari tinjauan pihak yang arif
berkenaan dengan undang-undang mendapati OSA telah bercanggah dengan artikel 10
Perlembagaan Negara yang menjamin kebebasan rakyat menyuarakan sesuatu.
Pada amnya rakyat dari semua
lapisan berpendapat jikalau OSA diluluskan suatu hari nanti masyarakat dan negara kita akan menjadi sebuah “police state” yang mana rakyat jelata tidak
mempunyai sebarang kebebasan untuk mengeluarkan pandangan dalam pentadbiran dan
pembangunan negara sekaligus juga memberi perlindungan kepada pegawai-pegawai
yang “korup” dan suka menyeleweng terus melakukan kesalahan ataupun penipuan.
Disyorkan kerajaan memberi
pertimbangan yang wajar dan tinjauan yang mendalam terhadap semua penentangan
dan bantahan yang dikemukakan oleh rakyat jelata.
Jikalau dijadikan rang
undang-undang tanpa dirujuk kepada rakyat, kerajaan seolah-olah akan menjadi
penindas rakyat dan kita percaya rakyat yang memilih kerajaan dalam pilihanraya
yang lalu tidak akan memberikan kuasa kepada kerajaan lagi.
Malah rakyat merasa ‘tertipu’
apabila kerajaan menunda pembentangan OSA pada Mac lalu dan menganggap ia
adalah satu muslihat.
Secara tidak langsung kerajaan
seolah-olah tidak mengambil kira dan menghormati perasaan rakyat dan jika OSA
diteruskan, kerajaan menjadi penindas dan terus-terang bercanggah dengan slogan
‘Tradisi Membela Rakyat’.
Walau bagaimanapun, kita
menaruh penuh keyakinan kerajaan adalah matang dan bijaksana serta berpegang
kepada slogan yang dilaungkan selama ini.
没有评论:
发表评论