2012年11月28日星期三

陈思源促总检察长煽动罪名查控莎丽扎


(吉隆坡28日讯)


执业律师陈思源呼吁各级巫统领袖不要为了自私的政治利益而危言耸听,制造各种族间不必要的猜疑,甚至破坏国民团结。

陈氏也促请总检察长训令警方以煽动罪名调查甚至提控巫统妇女组主席,以释人民的疑虑;以安民心。

陈思源是针对巫统妇女组主席莎丽扎于巫统妇女组代表大会的言论发表文告作出反应。

莎丽扎演讲时警告说,若巫统失去政权,国家的政局有可能会陷入动荡,并重演513事件。(引述自《当今大马》高嘉琪于2012年11月28日上午11点26分的报导)

她说,马来人的权力已岌岌可危,马来人若不立刻采取行动就会逐渐被边缘化,甚至沦为难民。她也说,如果我们不想在我们的土地上沦为难民的话,我们需要马上解决这种情况。她问巫统妇女组党员,今天的经济权力并非在马来人手上,我们是否愿意一并失去政治和权力?

陈思源指出,莎丽扎的上述谈话有煽动马来友族情绪、在各民族之间散播猜疑的禍种、制造社会的紧张气氛与不安、破坏各民族之间的和谐,甚至破坏国民团结的重大嫌疑。

因此,陈氏呼吁各级巫统领袖言行必须贯彻《以人民的安危、以社会的和谐、以国家的团结为依归》;拿出负责任的政治家风范,不要为了自私的政治利益而置各民族的和谐、团结、社会与国家的安宁于不顾。

他也促请总检察长训令警方以煽动的罪名调查莎丽扎甚至提控她,以释人民的疑虑;以安民心。



文告

2012年11月26日星期一

NASIB SI PONDAN

(Petikan drpd buku Maruah Bangsa Melayu Gagal ? terbitan April 1991)


UMUM mengetahui bahawa Perlembagaan Persekutuan kita (perkara 8) memberi perlindungan kepada rakyat jelata atas hak-hak asasi mereka tanpa sebarang diskriminasi yang berasaskan agama, kaum, keturunan atau tempat lahirnya. Ini bermakna hak kaum minoriti adalah terjamin dan bukan mudah dicabuli oleh sesiapapun.

Bagaimanapun, terdapat satu kaum minoriti di Malaysia yang benar-benar kurang bernasib baik dan mereka tidak berhak untuk menikmati perlindungan hak samarata seperti rakyat biasa. Kumpulan yang dimaksudkan ialah kaum pondan ataupun dalam istilah perubatan ‘Hermaaphrodite’, ertinya orang yang mempunyai kedua-dua organ kemaluan lelaki dan perempuan, perbezaannya cuma adalah satu antara organ itu lebih berkembang daripada yang lain.

Kewujudan kaum pondan ini tidak dapat diterima dengan baik oleh negara ini bukan setakat umum, malah pihak kerjaaan pun turut bersikap demikian. Pendirian pihak Pejabat Pendaftaran Negara yang enggan mendaftar seseorang itu selain daripada jantina lelaki atauapun perempuan jelas membayangkan dilema kaum pondan, dan kehidupan kaum pondan adalah tidak bermaruah, bagaikan rumput di tengah jalan dipandang hina, dikeji dan juga dipandang jijik oleh para anggota masyarakat kita.

Keadaan ini telah melemahkan semangat mereka dan kesan paling negatif yang boleh dilihat daripada hakikat bahawa ramai di antara pondan-pondan itu menggadaikan maruah dan mencari nafkah dengan melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti maksiat. Itupun mereka mengalami dilema, kerana mahu menjadi pelacur pun mereka tidak layak kerana mereka ‘tidak mempunyai senjata yang sempurna’! Namun, mereka terpaksa memberi ‘perkhidmatan istimewa’ kepada lelaki yang mempunyai kegemaran yang luar biasa juga.

Ada sesetengah pondan menjaga maruah mereka dengan mencari kerja yang jauh daripada aktiviti yang tidak bermoral itu. Tetapi malangnya ini tidak bermakna mereka telah dapat melarikan diri daripada nasib celaka. Teman-teman di sekeliling mereka mempunyai pandangan yang ganjil dan pelik di samping memerli mereka. Kalau dikiaskan dengan orang gila, orang gila mungkin lebih bertuah kerana mereka tidak sedar akan diri mereka dan tidak gelisah. Tetapi bagi para pondan yang siuman, jiwa mereka terseksa seumur hidup. Lantaran itu, jika tiada kelonggaran dan membebaskan diri mereka daripada keseksaan ini, lambat laun mereka boleh menjadi mental!

Tetapi siapa di antara anggota masyarakat yang sihat dan normal pernah benar-benar cuba memahami kesengsaraan kaum pondan? Baru-baru ini kita melihat adanya sedikit percubaan daripada pihak berkuasa untuk memberi perlindungan sementara kepada kaum pondan. Dalam pada ini borang Pemaklum Kelahiran (Birth Notice Form) yang dikeluarkan oleh pihak Pejabat Pendaftaran Negara telah menyediakan ruangan jantina dengan tiga ketogori, iaitu “lelaki”, “perempuan” dan “lain-lain” (others).

Ketua Pengarah Pendaftaran Negara Datuk Syed Rosley Syed Abu Bakar telah menerangkan (The Malay Mail) bahawa sekiranya seseorang bayi mempunyai kedua-dua jenis organ kemaluan lelaki dan perempuan, beliau akan diketogorikan dalam ruangan “lain-lain”. Tetapi penjelasan lanjut yang telah diumumkan oleh Datuk Syed Rosley itu masih tidak menyenangkan kerana beliau mengatakan pihaknya menyangka apabila seseorang anak itu mencapai umur dua belas tahun jantinanya pasti boleh ditentukan oleh pakar perubatan. Jadi ruangan “lain-lain” tidak akan wujud lagi dalam borang permohonan untuk mendapatkan kad pengenalan. Ini bermakna kaum pondan masih menghadapi kerumitan seperti dahulu. Bagaimanapun panggilan “lain-lain” ke atas kaum pondan pun tidak begitu sesuai kerana ia juga merupakan panggilan yang tidak bermaruah.

Apakah kita terus membiarkan kaum pondan sengsara berpanjangan dan langsung tidak diberikan sebarang pertolongan atau belas kasihan kemanusiaan? Kita harus mengakui bahawa bukan pilihan mereka untuk menjadi pondan, itu semua adalah kehendak Tuhan! Kerajaan harus mengiktiraf secara rasmi kewujudan kaum pondan dengan memberi martabat kepada mereka dalam masyarakat. Dalam hubungan ini, disyorkan supaya pihak kerajaan mengambil langkah yang positif dengan memberikan satu panggilan yang sesuai kepada kaum pondan sebagai satu jantina untuk menggantikan perkataan “lain-lain” yang menjatuhkan maruah itu. Justeru itu, semua borang-borang rasmi mesti menyediakan ruangan jantina untuk kaum pondan selain daripada ruangan untuk lelaki dan perempuan. Kerajaan harus juga mengambil inisiatif untuk membuat sesuatu bagi menghapuskan prejudis masyarakat umum terhadap kaum pondan.

Jangan kita lupa, tiap-tiap orang berhak untuk hidup dalam negara ini dengan menikmati hak-hak samarata. Selagi kita memberi perlindungan kepada kaum pondan agar mereka setaraf dengan kaum lelaki dan perempuan mereka tetap didiskriminasikan dan tidak mempunyai martabat serta maruah dalam masyarakat kita, maka perlembagaan negara mempunyai kelemahan yang menjadikannya kurang sempurna.



Buku Maruah Bangsa MELAYU GAGAL ? ini diterbitkan 2 dekad dahulu. Namun, masalah diluahkan oleh penulis masih kekal menghantui masyarakat yang berbilang kaum negara ini.


BAGAIMANA MAHUNYA

(Petikan drpd buku Maruah Bangsa Melayu Gagal ? terbitan April 1991)



Dewan Negara:
BAGAIMANA MAHUNYA

SIDANG Dewan Negara sessi pertengahan tahun (1988) sudahpun berakhir baru-baru ini. Seperti biasa, ia gagal menarik perhatian ramai.

Tetapi suatu gejala yang sudah menjadi kebiasaan tetap berulang kali ini, kita masih mendengar keluhan daripada orangramai, termasuk media massa, tentang kelemahan Dewan yang mulia itu dan “performance” anggotanya. Dalam pada itu persoalan sama ada Dewan Negara dan juga Senator-senator merupakan ‘Rubber Stamp’ lumrah dipertikaikan. Banyak desakan mahukan kerajaan membentuk semula Dewan Negara dan mempertingkatkan mutu anggotanya. Ada juga sesetengah pengkritik radikal berpendapat Dewan Negara patut dibubarkan sama sekali.

Apakah kritikan-kritikan umpama itu tepat ataupun tidak berasas? Sebelum kita dapat mencari sesuatu jawapan yang munasabah dan memuaskan, kita harus ‘meneropong’ secara ringkas komposisi dan fungsi ‘The House of Lords’ dari Britain yang bersamaan dengan Dewan Negara kita. Kita meminjam Sistem Pentabiran dari bekas negara penjajah itu.

Sebenarnya ‘The House of Lords’ juga mengalami banyak kritikan dari pelbagai lapisan masyarakat negara itu. Pada November 1867 kerajaan Britain (ketika itu diterajui oleh Parti Buruh) pernah memulakan perbincangan formal dengan dua parti pembangkang utama negara itu bertujuan untuk mencari suatu formula yang boleh diterima oleh semua pihak bagai membentuk semula Dewan tersebut.

Persetujuan bersejarah yang diharap-harapkan itu tidak tercapai berpunca daripada faktor-faktor politik tertentu di luar dugaan. Bagaimanapun sejak permulaan abad ini, kerajaan Britain dari masa ke semasa telah berjaya menjalankan pembentukan semula sebanyak empat kali ke atas “The House of Lords”. Namun Dewan itu masih menjadi cemuhan masyarakat Britian! Antara kritikan yang dilaungkan ialah jawatan di Dewan itu merupakan pengujudan dari perbuatan tendang ke atas (kicking upstairs).

Sekirannya kita mengkaji fungsi “The House of Lords” dengan teliti dan serius, kita akan mendapati bahawa ia boleh menjalankan beraneka peranan. Selain daripada sebelas orang hakim tertinggi dalam Sistem Kehakiman Britain (Lords of Appeal in Ordinary) ia merupakan Dewan Kedua (Second Chambers) yang paling berkesan dalam bidang legislatif. Kerapkali ia berjaya memaksa Parlimen (the Commons) memikir kembali Rang Undang-undang ‘The Foreign Compensation Act 1969’ yang bertentangan dengan hasrat The Commons dan akhirnya berjaya juga dalam gerakan tersebut. Dalam tahun 1972 Dewan Senat itu pernah mencadangkan 610 pindaan ke atas suatu rang undang-undang . Selain daripada itu “The House of Lords” juga sentiasa mengambil inisiatif untuk menyusuli rang undang-undang (selain daripada perkara yang membabitkan kewangan) yang bukan merupakan perkara yang paling mustahak dari segi nasional. Semua ini membuktikan “The House of Lords” benar-benar aktif dalam usaha menjalankan tugas sebagai Dewan Kedua dengan berkesan.

Kalau dibandingkan dengan “The House of Lords”, prestasi Dewan negara kita agak mengecewakan, kerana fungsi dan kecekapannya jauh daripada memuaskan. Boleh dikatakan semua sessi persidangannya berjalan dengan licin dan cepat. Mengapa tidak? Anggota-anggota Yang Berhormat kita kebanyakannya mengambil bahagian dalam sessi persidangan Dewan Negara bersikap sambil lewa.

Pada keseluruhannya mereka seperti kanak-kanak tadika, bangun untuk membentang soalan (itupun cuma menyebut nombor soalan saja); jika menteri berkenaan yang bangun dan menjawab soalan ‘mood’ kurang baik dan main ‘tai-chi’ dengan berdolak-dalih mereka pun “kelu lidahnya” dan tidak boleh ataupun tidak berani berbuat apa-apa. Jarang ada soalan tambahan, jarang ada senator yang terserlah. Sebarang rang undang-undang yang telah diluluskan oleh parlimen pasti akan diluluskan juga oleh Dewan Negara tanpa banyak perbahasan atau kritikan dan juga tanpa sebarang pindaan. Dewan Negara langsung tidak berpeluang dan lebih tepat lagi tidak dibenarkan untuk memainkan peranan sebagai ‘watch-dog’ kepada Dewan Rakyat. Dalam keadaan sedemikian adalah ketara Dewan Negara kita terpaksa menjadi “Rubber Stamps” sahaja. Sebenarnya baikpun soalan bertulis mahupun soalan tambahan, kebanyakannya perkara remeh-temeh. Jarang ada sesuatu idea yang boleh dicedok oleh kerajaan ataupun biasanya mengulangi soalan yang ditimbulkan di Dewan Rakyat. Mungkin sebab itu ada sesetengah pengkritik pernah menyifatkan Senator kita seperti pelawak tetapi oleh kerana persembahannya bercorak ‘cahang’, rakyat (pembayar cukai) tidak terhibur.

Dalam keadaan begini tidak hairanlah ada juga pengkritik mendakwa Senator kita cuma makan gaji buta kerana mereka bertanggungjawab kepada mana-mana kawasan tertentu. Jadi apalah Dewan Negara kita dan para anggotanya merupakan ‘yang lebih punya?’ Buang masa dan membazirkan wang rakyat?

Oleh itu, sudah sampai masanya kerajaan berbuat sesuatu untuk memberi nafas baru kepada Dewan Negara kita dan menghapuskan imejnya sebagai ‘Old Folks Home’. Jangan membiarkan Dewan Negara berkekalan sebagai tempat perlindungan politik (politik asylum) berpunca daripada politik “balas budi”. Berikanlah lebih ‘kuasa’ dan ruang kepada anggota Dewan Negara supaya berani, liberal untuk mengkritik. Para Senator sendiri juga perlu menerobos hanya dengan “performance” yang bersemangat lagi bermutu bagi menangkis pelbagai sindiran kononnya Dewan Negara dan anggotannya adalah ‘Rubber Stamps’ belaka.

APA JAMINANNYA?

(Petikan drpd buku Maruah Bangsa Melayu Gagal ? terbitan April 1991)


AKTA RAHSIA RASMI:
APA JAMINANNYA?

PERNAH ditulis dalam ruangan ini mengenai Akta Rahsia Rasmi (OSA) tidak lama dahulu dengan memberi gambaran tentang baik buruknya pembentangan pemindaan akta tersebut.

Perkembangan terbaru menunjukkan semua wakil rakyat Barisan Nasional bersepadu dan akan menyokong kerajaan di Dewan Rakyat apabila Rang Undang-undang (pindaan) Akta Rahsia Rasmi (OSA) dibentangkan untuk pembacaan kali kedua Disember ini.

Keputusan ini adalah hasil daripada penjelasan yang diberikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad dalam perjumpaannya dengan Wakil Rakyat Barisan National.

Jurucakap Anggota Parlimen, Datuk Mohamed Rahmat berkata rakyat tidak perlu bimbang mengenai takrif akta itu kerana setiap dokumen yang di anggap sulit akan diberi tanda pangkah. Beliau juga memberitahu penjelasan Perdana Menteri telah berjaya menghapuskan setiap keraguan rakyat dan sekarang ini hanya mereka yang bersalah sahaja takut dengan OSA.

Pengumuman Datuk Mohamed Rahmat itu tidak meyakinkan sama sekali kerana anggota Yang Berhormat sahaja yang berpeluang mendengar penjelasan dari Perdana Menteri dan bukan semua rakyat.

Ketika ini segolongan rakyat mungkin merasa keliru di atas kontroversial yang timbul dari pindaan OSA yang dicadangkan itu. Pandangan tersebut tentu bercanggah. Pihak kerajaan berkali-kali memberi jaminan tiada apa-apa yang perlu dikhuatir kerana ia bukan bertujuan menganiaya sesiap. Perdana Menteri sendiri menarik perhatian bahawa hampir 30 tahun akta itu dikuatkuasakan hanya tiga orang sahaja didakwa di mahkamah. Beliau mendakwa golongan yang menentang OSA sengaja membuat tafsiran yang salah terhadap akta itu tanpa mengambil kira cara akta itu dikuatkuasakan sebelum ini.

Sebaliknya kita juga mendengar suara bantahan yang begitu lantang termasuk dari bekas pemimpin-pemimpin negara seperti ‘Bapa Kemerdekaan’ Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Tun Hussein Onn, bekas Juruaudit Negara, Tan Sri Nordin Zakaria, Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJ) dan Persatuan Peguam (Bar Council).

Apakah mereka yang membangkang pindaan itu terlalu ghairah, sensitif atau takut kepada bayangan sendiri?

Pada hematnya, segala bantahan dan kekhuatiran mengenai pindaan akta tersebut adalah berasas.

Perlu diingatkan juga bahawa jika seseorang didakwa di mahkamah, para hakim tidak akan mengambil kira jaminan-jaminan yang dikeluarkan oleh pemimpin negara apabila menjatuhkan hukuman. Mahkamah cuma memberi pertimbangan dan tertakluk kepada undang-undang yang berkuatkuasa dan juga contoh-contoh keputusan mahkamah dahulu (authorities).

Kerajaan sering memberi jaminan mengenai takrif OSA dan menjelaskan setiap dokumen yang di anggap sulit akan diberi tanda pangkah.

Di sini kita ingin merujuk kepada satu keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Datuk Haji Zulkifli Datuk Abdul Hamid lawan pendakwaraya (Kota Kinabalu-Federal Court Criminal Appeal No. 3 1980 MLJ 1981 muka surat 112) yang mana pihak perayu telah dipersalahkan atas tuduhan menerima maklumat Rahsia Rasmi dan sekeping dokumen Rahsia Rasmi dan menyampaikan kepada pihak lain.

Tuduhan yang didakwa adalah pihak perayu telah menerima satu salinan surat yang diutuskan oleh Ketua Menteri Sabah yang dialamatkan kepada Menteri Luar Negeri yang mana beliau memahami dokumen itu adalah dokumen rahsia dan disampaikan kepada pihak lain.

Beliau menyatakan ia menerima salinan itu melalui pos biasa. Persoalannnya adalah sama ada maklumat ataupun dokumen itu rahsia? Pihak perayu mendakwa kepada mahkamah bahawa dokumen berkenaan yang pada suatu ketika di anggap sebagai rahsia kehilangan takrif rahsia kerana kandungannya telah diketahui umum.

Mahkamah Persekutuan tetap mempersalahkan pihak perayu dan memutuskan antara lain: sesuatu dokumen tidak akan kehilangan takrifnya sebagai dokumen rahsia hanya kerana orang yang tidak berkuasa telah mencuri dan menyalinnya serta mengirimkan melalui pos kepada pihak perayu tanpa nama; dan ia juga tidak kehilangan rahsianya meskipun surat berkenaan mengandungi maklumat yang telah diketahui umum.

Kita percaya para pembaca tentu berasa terkejut dan takut apabila membaca keputusan Mahkamah Persekutuan itu. Dan dari contoh keputusan itu kita pasti segala jaminan oleh pemimpin-pemimpin negara tidak memberi apa-apa kesan untuk membela seseorang yang mungkin didakwa di bawah OSA kelak.

Oleh itu untuk melenyapkan segala keresahan rakyat perlulah kerajaan menunjukkan kejujurannya dengan mengambil langkah yang positif supaya memperkenalkan ke dalam pindaan OSA itu perenggan yang mengecualikan orang-orang yang teraniaya.

Rakyat Malaysia yang bersemangat demokrasi dan bersedia mematuhi undang-undang tidak berkeyakinan terhadap ‘jaminan-jaminan’ yang dikeluarkan oleh pemimpin-pemimpin negara. Apa yang diharapkan adalah lebih baik jika jaminan itu terus dicatat dalam Rang Undang-undang ataupun peraturan-peraturan yang berkenaan.


ADAKAH IA PERLU?

(Petikan drpd buku Maruah Bangsa Melayu Gagal ? terbitan April 1991)


AKTA RAHSIA RASMI:
ADAKAH IA PERLU?

MENJELANG Disember 1986 satu era baru dalam sejarah akan tercipta bagi tanahair kita. Barangkali ia adalah sejarah hitam. Ini adalah berkaitan dengan Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Sebenarnya OSA di rangka begitu rupa pada 1972 telah di anggap sebagai satu rang undang-undang yang agak berat. Parlimen ketika itu diberitahu bahawa rang undang-undang itu hanya untuk memerangkap pengintip dan agen kerajaan asing. Dan cuma dua orang warganegara Malaysia sahaja yang di tuduh mempunyai tali perhubungan dengan misi asing telah diberkas di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Salah seorang daripada mereka itu menafikan semula pengakuan yang telah dilakukan dahulu dan mendakwa penangkapan beliau adalah berdasarkan motif politik.

Malangnya orang yang bertanggungjawab dalam penangkapan beliau iaitu Tan Sri Ghazali Shafie membisu. Ini menjadikan ‘peristiwa’ tersebut sebagai satu misteri yang tidak diketahui umum!

Namun OSA yang banyak mencetuskan kontroversi ini pernah dibentangkan dalam Parlimen pada Mac lalu tetapi tidak dibahaskan dan telah ditunda kerana kerajaan buat masa ini mengambil kira bantahan yang agak keras daripada pelbagai pihak yang tertentu termasuk wartawan dan pengarang.

Bagaimanapun kerajaan selepas itu telah meminta draf undang-undang tersebut supaya takrif rahsia dapat di rumus dengan lebih jelas. Beberapa pindaan seperti fasal baru telah diperkenalkan. Antaranya menyekat sebarang dokumen, maklumat atau benda yang di anggap dokumen rahsia rasmi.

Dalam pada itu rakyat pada keseluruhannya merasa gentar dan khuatir terhadap takrif rahsia rasmi yang dimuatkan dalam OSA itu kerana ia terlalu luas dan menyeluruh. Ia adalah seperti berikut:

a)     Dokumen, rekod atau keputusan dan perbicaraan kabinet termasuk jawatankuasa kabinet;
b)  Dokumen, rekod atau keputusan dan perbincangan Majlis Kerja Negeri (Exco) termasuk  jawatankuasa-jawatankuasa Exco;
c)      Dokumen mengenai perhubungan antara kerajaan pusat dan negeri;
d)     Dokumen mengenai keselamatan negara, pertahanan dan perhubungan antarabangsa;
e)    Dokumen menganai atau berkaitan nasihat, pendapat atau perakuan mengenai operasi dan fungsi kerajaan;
f)    Dokumen mengenai ekonomi negara, seperti yang berkaitan dengan mata wang, cadangan belanjawan dan pelaburan asing dan
g)   Dokumen mengenai tawaran tender yang berkaitan pembelian, pemberian kerja, bekalan, perkhidmatan dan projek kerajaan.

Apa yang lebih dahsyat sekali ialah OSA juga berhasrat memberi kuasa kepada Menteri Dalam Negeri menambah, mengurang dan meminda peruntukan dalam jadual berkenaan.

Dalam pembacaan pertama OSA itu, pihak berkuasa telah mentakrifkan rahsia rasmi dalam empat jenis yang mana ia bermaksud sebagai dokumen, maklumat atau benda yang di tanda ‘rahsia besar’, 'sulit’ dan ‘terhad’.

Dalam hal ini sesiapa sahaja yang tidak berkuasa tetapi didapati menyimpan atau menggunakan meklumat seperti di atas boleh dikenakan hukuman penjara mandatori sekurang-kurangnya satu tahun. Ini bermakna, semua denda yang dikenakan menurut Akta Rahsia Rasmi 1972 iaitu akta asal telah dimansuhkan sama sekali. Kesalahan-kesalahan mengikut Akta 1972 itu cuma membawa hukuman penjara tidak lebih dari 14 tahun atau denda $20,000 atau kedua-duanya sekali.

Tetapi perbezaan yang ketara sekali ialah mengikut akta asal itu seseorang yang didapati bersalah dalam mahkamah tidak akan dikenakan penjara mandatori bahkan hakim berkenaan yang di anggap sesuai dan berpatutan berdasarkan latar belakang tiap-tiap kes tersebut.

Ramai berpendapat OSA yang dalam proses perangkaan itu adalah lebih teruk dan dahsyat daripada Akta 1972 yang juga sebagai satu rang undang-undang yang tidak adil.

Mengikut OSA itu selain daripada Undang-undang Kanun Keseksaan seseorang tertuduh diwajibkan membuktikan bahawa beliau pernah menolak apabila sesuatu maklumat disampaikan kepada beliau. Para pendakwa cuma perlu membuktikan sesuatu ‘item’ mengandungi maklumat tertentu adalah di dalam simpanan tertuduh dan sekaligus menyifatkan sebagai ‘rahsia’ atau ‘terhad’.

Kini surat layang masih berleluasa dan sesiapapun mengkin pada satu ketika akan dipersalahkan dan akibat daripada itu dikenakan penjara mandatori kerana menurut OSA sesuatu dokumen ataupun surat layang yang dalam simpanan atau kepunyaan seseorang itu pada bila-bila masa sahaja boleh ditakrifkan sebagai rahsia rasmi oleh menteri ataupun pegawai kerajaan berkenaan.

Dari tinjauan pihak yang arif berkenaan dengan undang-undang mendapati OSA telah bercanggah dengan artikel 10 Perlembagaan Negara yang menjamin kebebasan rakyat menyuarakan sesuatu.

Pada amnya rakyat dari semua lapisan berpendapat jikalau OSA diluluskan suatu hari nanti masyarakat dan negara kita akan menjadi sebuah “police state” yang mana rakyat jelata tidak mempunyai sebarang kebebasan untuk mengeluarkan pandangan dalam pentadbiran dan pembangunan negara sekaligus juga memberi perlindungan kepada pegawai-pegawai yang “korup” dan suka menyeleweng terus melakukan kesalahan ataupun penipuan.

Disyorkan kerajaan memberi pertimbangan yang wajar dan tinjauan yang mendalam terhadap semua penentangan dan bantahan yang dikemukakan oleh rakyat jelata.

Jikalau dijadikan rang undang-undang tanpa dirujuk kepada rakyat, kerajaan seolah-olah akan menjadi penindas rakyat dan kita percaya rakyat yang memilih kerajaan dalam pilihanraya yang lalu tidak akan memberikan kuasa kepada kerajaan lagi.

Malah rakyat merasa ‘tertipu’ apabila kerajaan menunda pembentangan OSA pada Mac lalu dan menganggap ia adalah satu muslihat.

Secara tidak langsung kerajaan seolah-olah tidak mengambil kira dan menghormati perasaan rakyat dan jika OSA diteruskan, kerajaan menjadi penindas dan terus-terang bercanggah dengan slogan ‘Tradisi Membela Rakyat’.

Walau bagaimanapun, kita menaruh penuh keyakinan kerajaan adalah matang dan bijaksana serta berpegang kepada slogan yang dilaungkan selama ini.

SUSAH ABANG PAYAH ADIK

(Petikan drpd buku Maruah Bangsa Melayu Gagal ? terbitan April 1991)



Sikap Masyarakat Malaysia:
SUSAH ABANG PAYAH ADIK

Jika diukur dari segi amalan dan kerja kebajikan masyarakat Malaysia tidak ketinggalan sekirannya dibandingkan dengan masyarakat lain di dunia ini. Entah berapa peristiwa yang mengharukan pernah dilakukan oleh rakyat negara ini pada masa yang lampau. Misalnya kepada orang-orang Palestin yang menderita akibat peperangan yang berlanjutan mahupun orang Afrika yang kebuluran, semua ini pernah dilakukan oleh masyarakat Malaysia dengan memberi derma. Semua ini tunjukkan di peringkat antarabangsa.

Masyarakat Malaysia juga sentiasa menunjukkan simpati kepada orang-orang yang kurang bernasib baik dalam tanah air sendiri. Peristiwa budak leukimia, Mohd. Hafizi Harun adalah bukti yang terbaru. Tahniah kepada adik Mohd. Hafizi dan ibu bapanya dan taniah juga harus disampaikan kepada penderma-penderma termasuk akhbar Utusan Malaysia di atas sumbangan dan pertolongan mereka yang membolehkan budak yang kurang bernasib baik itu mendapat peluang untuk menjalani pemindahan sum-sum tulang di Hospital Kanak-kanak Prince of Wales di Sydney, Australia.

Kita percaya sepanjang hidupnya adik Mohd. Hafizi tidak akan melupai bahkan beliau akan membalas kasih bangsa Malaysia yang menghulurkan sesuatu kepadanya pada saat-saat genting dan pada masa dia amat mnemerlukan bantuan.

Sedangkan, peristiwa adik Mohd. Hafizi bukan perkara yang pertama kali. Rakyat negara ini sentiasa menunjukkan sifat perikemanusiaan dan semangat saling bantu membantu dalam hidup seharian mereka. Dari peristiwa adik Mohd. Hafizi yang telah diberikan publisiti yang meluas, itu telah memberikan kita satu idea yang positif.

Benar, selama ini 'Malaysianegara ini tidak mengira keturunan sama-sama telah menunjukkan satu’nilai’ yang saksama iaitu ada perasaan kasihan, sedia tampil ke depan untuk memberi bantuan kepada orang yang kurang bernasib baik, atau yang menderita. Tetapi satu hakikat yang kita tidak dapat nafikan ialah setakat ini kita masih belum mengambil kesempatan untuk memupuk dan menjalin semangat persaudaraan antara kaum menerusi peristiwa yang dimaksudkan itu.

Dari tinjauan setiap hari berlakunnya peristiwa 'sedih' melibatkan individu seperti apa yang dialami oleh adik Mohd. Hafizi. Selalunya akhbar-akhbar tempatan memainkan peranan yang agak menggalakkan dalam usaha mendapatkan derma dari orangramai untuk memberi bantuan. Bagaimanpun usaha-usaha ini biasanya ‘terhad’ kepada sesuatu kaum tertentu. Ini bermakna orang yang memerlukan bantuan itu terdiri dari sesuatu kaum, cuma akhbar berbahasa ibunda kaum berkenaan yang terlibat dalam usaha mengutip derma dari orangramai. Walaupun kadangkala ada kes kecualian tetapi semua ini tidak sampai ke tahap yang memuaskan.
Apa yang dimaksudkan ialah, sebenarnya semangat persaudaraan dan perpaduan sudah berakar umbi dalam fikiran raykat Malaysia dari semua keturunan. Ini dapat dibuktikan dalam peristiwa yang membabitkan isu kebangsaan seperti dalam awal enam puluhan, rakyat negara ini berganding bahu menentang pencerobohan Indonesia yang bermusuhan dengan kita. Dalam peristiwa terbaru yang berlaku di Stadium Negara, rakyat (peminat) berbilang kaum telah menunjukkan semangat patriotisme yang tinggi apabila sama-sama memberi sokongan kuat kepada pasukan badminton negara menentang Indonesia (di peringkat separuh akhir) dan kemudiannya negara China (di peringkat akhir).

Dalam kehidupan seharian, peristiwa yang mana rakyat berbilang kaum saling membantu antara satu sama lain sering berlaku.

Tetapi apakah kita hanya merasa puas hati dan selesa terhadap situasi yang agak menggalakkan itu?

Tidak! Untuk membina sebuah Negara yang benar-benar bersepadu terutama sekali negara seperti Malaysia yang terdiri dari berbagai-bagai kaum, kita harus meningkatkan lagi semangat persaudaraan dan perpaduan ini. Dalam pada itu media massa harus mengambil kesempatan peristiwa yang menyentuh belas kasihan manusia seperti yang dimaksudkan itu untuk memupuk dan meningkatkan semangat tersebut.

Justeru itu akhbar-akhbar tempatan diseru menerbitkan kes-kes orang-orang yang kurang bernasib baik bukan setakat dalam akhbar bahasa ibunda orang-orang berkenaan tetapi diterbitkan juga dalam akhbar-akhabr berbahasa lain.

Dengan berbuat demikian, kita akan dapat menyemai semanagat persaudaraan yang tulin di antara kaum, mereka akan benar-benar berpegang teguh dengan fikiran “berat sama dipikul, ringan sama dijining”, seperti juga yang dikatakan oleh orang Tionghua “susah abang-payah adik”!.

Seandainya kita dapat mencapai ketahap yang diharapkan itu, apa-apa yang akan dilakukan oleh rakyat negara ini tidak akan terbatas kepada kaum-kaum tertentu. Dalam keadaan seperti ini nescaya perpaduan tidak akan menjadikan perkara yang “memeningkan kepala” pemimpin negara.

Kerana kita sama-sama adalah “susah abang-payah adik”, tiada batas perkauman lagi!

JANGAN PERTIKAI BAHASA KITA

(Petikan drpd buku Maruah Bangsa Melayu Gagal ? terbitan April 1991)



Dalam Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini, Naib Presiden UMNO Encik (kini datuk Seri) Anwar Ibrahim memberitahu perwakilan dan pemerhati bahawa kerajaan akan terus melaksanakan dasar pendidikan negara dengan menyelaraskan kehendak dan falsafah Laporan Razak dan Laporan Rahman Talib yang mana beliau tidak akan berganjak seinci pun.

Ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 1989 mengenai kementerian beliau di persidangan Dewan Rakyat pada 10 November lalu, Encik Anwar mengulangi pendirian kerajaan tersebut.

Dalam kenyataan itu, beliau menekankan bahawa kita harus mengamalkan sikap rasional terhadap pendidikan dan jangan menghadapi perkara itu dengan pandangan perkauman yang sempit.

Kita memang sependapat dengan Encik Anwar itu. Bagaimanapun kita keliru sedikit dan kurang faham mengapa beliau ‘berikrar’ kepada para hadirin di Perhimpunan Agung UMNO yang beliau tidak akan berganjak dalam perlaksanaan tugasnya.

Ini telah memberi suatu gambaran kepada khalayak ramai bahawa dasar pendidikan negara ataupun kedaulatan bahasa kebangsaan, iaitu Bahasa Malaysia telah pun tercabar oleh kalangan tertentu.

Kita sudah cuba mencari jawapan tentang maksud sebenar mengapa Encik Anwar berikrar dengan membuat pertanyaan kepada orang lain tetapi tidak memperolehi jawapan yang memuaskan; setelah memikirkan perkara ini, kita dapat tafsirkan bahawa ia cuma cara politik Encik Anwar, nak 'main' sedikit untuk mendapatkan populariti.

Selain daripada itu, kita bersetuju dengan pandangan beliau terutama sekali penekanan beliau bahawa kita harus mengamalkan sikap rasional terhadap soal pendidikan dan jangan menghadapi perkara ini dengan pandangan perkauman yang sempit.

Falsafah ini sepatutnya menjadi suatu amalan kepada rakyat Malaysia dan pihak kerajaan. Jika kita dapat mengutamakan soal pendidikan (tentunya harus termasuk soal bahasa) dengan pandangan yang luas, masyarakat majmuk ini tidak akan sering terheret ke kancah pertelagahan mengenai isu bahasa.

Dari pemerhatian penulis sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kita telah membuat kesimpulan yang ringkas tetapi menakjubkan, iaitu pihak Kementerian Pendidikan tidak mempunyai keyakinan yang tinggi atau dengan lain perkataan mereka seolah-olah mempunyai 'inferior complex'. Perasaan inilah mengakibatkan sesetengah pemimpin (pendidikan atau bahasa) terasa kononnya kedudukan Bahasa Malaysia mungkin akan tergugat oleh bahasa lain.

Untuk memperkukuhkan kedudukan Bahasa Malaysia, pelbagai peraturan diketengahkan yang mana kaum lain turut merasa 'terancam' kononnya kebebasan menggunakan bahasa ibunda mereka telah tercabar. Dan salah anggapan tersebut menimbulkan pertelagahan dari perkara pendidikan dan bahasa pada masa lampau.

Berpandukan pendekatan yang rasional dan pandangan yang lebar, kita ingin membincangkan tentang perkembangan bahasa Inggeris.

Beberapa ratus tahun dahulu, bahasa Inggeris adalah suatu bahasa yang kasar, mundur dan tidak mempunyai kedudukan yang luhur di benua Eropah.

Mujurlah 'rakyat Mat Salleh' ketika itu mempunyai pandangan yang luas terhadap bahasa. Mereka sedikit pun tidak merasa segan akan keluhuran bahasa lain yang lebih maju dan digunakan oleh bangsa-bangsa lain di negara jiran. Dengan pendekatan yang jauh dari fahaman sempit, mereka pun berusaha untuk memperkayakan bahasa Inggeris dengan meminjam dan menyerapkan bahasa asing ke dalam bahasa mereka.

Dalam perlaksanaan itu, mereka meminjam bahasa Perancis, Greek, Normandy, Italy, German dan juga China. Sehingga ini, kita masih dapat mengesan dengan jelas bahasa asing dalam bahasa Inggeris.

Setelah proses penyerapan bahasa asing, bahasa Inggeris sudah pesat berkembang dan hari ini, ia merupakan satu bahasa yang paling halus dan cantik di dunia ini. Mungkin pakar bahasa akan mendakwa ini adalah hasil dari pergaulan kebudayaan. Benar! Tapi kalaulah "Mat Salleh" tidak mengamalkan sikap terbuka keadaan menjadi sebaliknya pula.

Berbalik kepada negara kita, sejak beberapa puluh tahun lalu, terutama sekali sejak penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka kita telah menyaksikan perkembangan pesat dalam bahasa Malaysia. Bahasa Malaysia sedang menuruti jejak kaki "Mat Salleh" dahulu, yang bezanya ialah bahasa Malaysia telah berkembang dengan langkah yang lebih laju.

Ini sedikit sebanyak disebabkan dunia sekarang adalah dunia yang moden dan maju, segala-galanya juga bergerak laju. Kita yakin bahasa Malaysia akan menjadi bahasa yang kaya-raya (dari segi penyerapan bahasa asing yang lebih dari bahasa Inggeris), halus dan cantik suatu hari nanti.

Justerus itu, kita harus terus mengamalkan sikap yang liberal dan pandangan lebar terhadap perkembangan bahasa Malaysia; di samping itu oleh sebab kita mempunyai keyakinan tentang masa hadapan bahasa Malaysia, kita harus meninggalkan pandangan sempit terhadap bahasa lain.

Dalam hubungan ini, umum mengetahui Perkara 152 (1) (b) Perlembagaan Persekutuan kita telah menjamin kedudukan rasmi yang tidak mungkin tergugat oleh sesiapa pun, malahan bahasa lain juga dapat dipergunakan di kalangan rakyat.

Dengan hasrat dan kemahuan semua rakyat yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan yang begitu jelas, adalah menghairankan bagaimana pelbagai isu boleh timbul dari kegunaan bahasa-bahasa. Ini mungkin adalah kerana sesetengah kalangan terutama pegawai kerajaan salah faham akan semangat Perlembangaan Persekutuan itu.

Dalam pada itu, satu contoh yang kita bentangkan di bawah ini jelas menunjukkan bagaimana tanggapan yang salah boleh menimbulkan isu. Beberapa tahun dahulu, di negara ini telah berlaku isu papan tanda. Beberapa majlis daerah dan majlis perbandaran telah pun menggubal peraturan atau undang-undang kecil yang mana menitikberatkan kedaulatan bahasa Malaysia yang mana tulisan itu mesti ditulis di tempat teratas sekali dalam sesuatu papan tanda dan tulisan lain mestilah lebih kecil.

Sekirannya kita menuruti nasihat Encik Anwar dengan mempunyai pandangan rasional dan mengelakkan fikiran sempit terhadap isu bahasa, maka perkara itu tidak mungkin berlaku sama sekali.


BAHASA MALAYSIA DI KALANGAN KAUM CINA

(Petikan drpd buku Maruah Bangsa Melayu Gagal ? terbitan April 1991)



APABILA Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad melancarkan Gerakan Cintai Bahasa Malaysia (G.C.B.M) pada pertengahan Disember 1987 lalu, ramai kalangan rakyat terutama masyarakat Melayu menganggap ia satu-satu kempen yang ditujukan kepada kaum bukan Melayu sahaja.

Fenomena ini mungkin timbul kerana salah-anggapan masyarakat Melayu sendiri yang berpendapat orang-orang Melayu tentunya mencintai Bahasa Malaysia dan seterusnya pasti dapat menguasai bahasa itu dengan baik dan bermutu tinggi kerana Bahasa Malaysia itu adalah bahasa ibunda orang-orang Melayu sebelum ia ‘ditabalkan’ menjadi Bahasa Kebangsaan negara kita.

Bagaimanapun pemimpin Melayu tidak bersetuju dengan pandangan tersebut. Ini dapat dilihat daripada kenyataan Encik Anwar Ibrahim (kini Datuk Seri) ketika berucap merasmikan Minggu Bahasa Malaysia sempena dengan GCBM anjuran MCA di Dewan San Choon, Wisma MCA pada Isnin lalu (2-Mei-88).

Di samping memuji pihak MCA yang telah mengambil inisiatif dalam kempen GCBM, Encik Anwar (kini datuk Seri) dengan nada yang agak sedih bercampur perasaan “segan silu” mengakui pihak UMNO (Baru) akan mengekori jejak MCA dalam usaha mempergiatkan kempen GCBM bukan setakat di peringkat nasional saja tetapi ke peringkat negeri dan bahagian masing-masing.

Sempena dengan Minggu Bahasa Malaysia anjuran MCA itu beberapa program telah diatur. Tetapi program yang membawa makna yang terbesar ialah satu pameran (dengan kerjasama Persatuan Penterjemahan Dan Penulisan Kreatif Malaysia) yang mempamerkan bahan-bahan dan segala dokumentasi bahasa Melayu dihasilkan oleh masyarakat Tionghua.

Pameran itu telah mendedahkan banyak perkara yang amat mengkagumkan; seperti dikatakan oleh Encik Anwar dalam ucapan perasmian tersebut, ia menunjukkan masyarakat Tionghua telah memberi sumbangan yang besar dan tidak ternilai kepada perkembangan bahasa Melayu pada masa yang lampau.

Berikut adalah titik-titik peristiwa sejarah yang mengkagumkan kita ;-

1.      KAMUS
a)  Sejak awal kurun 15, pertembungan kebudayaan Melayu/Tionghua telah berkembang. Menurut sebuah Kamus ‘Perkataan Baru Melaka’ (满刺伽新语)telah pun diterbitkan oleh Tiongkok (Tanah Besar Negeri China). Kamus ini mengandungi 482 perkataan Melaka. Ia menggunakan ‘pinyin’ dalam dialek Tiongkok. Jelasnya kamus ini diterbitkan bagi memudahkan saudagar-saudagar Tiongkok dalam menjalankan kegiatan perniagaan dengan ‘counter-part’ mereka di Melaka. Kamus ini mungkin merupakan kamus ‘Melayu’ yang pertama kali dilahirkan di dunia ini! Menurut Profesor Goh Thean Chye, kamus ini ada di dalam simpanan perpustakaan Universiti Malaya.

b)   Kaum Tionghua pernah menerbitkan lima buah kamus jenis Tionghua-Melayu yang telah memainkan peranan yang penting dalam usaha memperkembangkan bahasa Melayu. Kamus-kamus ini termasuk Kamus Baru Melayu-Tionghua yang disusun oleh Lim Hing Nan pada tahun 1877, 111 tahun sebelum ini!

2.      Penterjemahan Karya-karya Sastera Klasik Tiongkok.
Daripada dokumentasi yang dipamerkan itu, kita mengetahui bahawa daripada tahun 1889 hingga 1953, peranakan Tionghua pernah berusaha menterjemahkan karya-karya klasik Tiongkok ke dalam Bahasa Melayu. Tajuk-tajuk yang diterjemahkan melebihi 70 jenis dan bilangan naskah terbitannya samapai ratusan buah.

Antara karya-karya klasik Tiongkok yang diterjemahkan itu termasuk ‘Sam Kok’ atau ‘Tiga Negeri Berperang’, (三国) ‘Seh Yew’, (西游) ‘Ong Cheow Koon Hoe Huan’ (王昭君和番) dan ‘The Li Sao’ (离骚) Ini merupakan karya-karya klasik Tiongkok yang terkemuka.

3.      Terbitan Suratkhabar bahasa Melayu
Daripada rekod sejarah, di antara tahun 1894 hingga 1935, masyarakat Tionghua yang bermastautin di negara ini pernah menerbitkan beberapa buah suratkhabar Melayu yang berbentuk ekabahasa dan dwibahasa. Akhbar-akhbar yang kesemuanya menggunakan ejaan Rumi banyak menerbitkan karya terjemahan Sastera Klasik Tiongkok.

Justeru itu, sekalipun masa hidupnya agak singkat, akhbar-akhbar ini telah memainkan peranan yang amat penting dalam hal pertembungan kebudayaan. Sekali imbas, akhbar-akhbar yang diterbitkan oleh masyarakat Tionghua itu termasuk ‘Suratkhabar Peranakan’ (1894 -  dalam dua bahasa Melayu-Inggeris, akhbar-akhbar selanjutnya diterbitkan dalam bahasa Melayu), ‘Bintang Timor’ (1894), ‘Malaysia Advocate’ (1910), ‘Kabar selalu’ 1924), ‘Bintang peranakan’ (1930), ‘Sri Peranakan’ (1932); dan ‘Story Teller’ (1934). Sejak negara kita mencapai kemerdekaan, kita tidak nampak lagi masyarakat Tionghua berkecimpung secara terus dalam terbitan akhbar-akhbar Bahasa Malaysia. Apakah kerajaan tidak lagi menggalakkan kaum Tionghua turut memberi sumbangan mereka dalam usaha memperkembangkan dan meningkatkan mutu Bahasa Kebangsaan kita itu? Kita berharap pihak kerajaan memberi pertimbangan bagi menghidupkan semula ‘tenaga’ yang terbiar ini demi untuk mempesat dan memperkayakan Bahasa Malaysia -  Bahasa Kebangsaan yang dincintai oleh semua lapisan rakyat negara ini. Dalam pada ini, adalah wajar jika KDN dikeluarkan kepada golongan Tionghua bagi menerbitkan akhbar-akhbar Bahasa Malaysia.

4.      Terjemahan Karya-karya Bahasa Melayu
Dalam tempoh awal lima puluahan hingga enam puluhan, sebanyak 35 buah karya-karya Bahasa Melayu telah diterjemahkan ke dalam Bahasa Tionghua. Dalam pada ini, cerpenlah yang banyak diterjemahkan dan dimuatkan dalam akhbar-akhbar harian Tionghua ataupun majalah Tionghua.

Antara karya-karya Bahasa Melayu yang diterjemahkan itu termasuk: ‘Nyawa Di Hujung Pedang’ oleh Ahmad Murad (diterjemahkan oleh Tina Noh), “Sajak-sajak Chairil Anwar” (Liew Kian Djoe); “Belenggu” oleh Armijn Pane (Sha Li Lun) dan “Mekar dan Segar” (Tang Yong).

Usaha-usaha penterjemahan karya-karya Melayu ke dalam Bahasa Tionghua telah memainkan peranan yang paling bermakna demi ke arah mencapai persefahaman dan perpaduan antara kaum melalui pertukaran kebudayaan.

5.      Sumbangan Sasterawan-Sasterawan Tionghua
Sejak awal-awal lima puluhan lagi, sudah lahir ramai sasterawan Bahasa Melayu yang berketurunan Tionghua. Hasil daripada kerja-kerja golongan ini telah memberi sumbangan yang tidak ternilai bagi menyuburkan lagi Bahasa Melayu.

Sejak tahun lima puluhan, Profesor Goh Thean Chye telah mengharumi kesusasteraan Melayu dengan karya-karyanya seperti yang terkandung dalam Antologi Pantun terbitan 1960; Imbau Subuh dan Tanda Indah. Profesor Goh Thean Chye adalah seorang sasterawan terkemuka negara ini yang agak veteran dan masih teguh serta giat dari zaman 50an hingga sekarang.

Masuk ke era enam puluhan, sasterawan Tionghua seperti Liew Kian Djoe dan Cheng Song Huat pula muncul. Antologi sajak ‘Jejak Kaki Dan Lagu Hati’ yang dihasilkan oleh Liew Kian Djoe telah menerima sanjungan orangramai. Cheng Soon Huat telah menghasilkan banyak karya-karya sajak, cerpen dan beliau terkenal dengan nama pena Kelana C.M sebagai seorang penulis ulasan politik dan buku-buku.

Hari ini, bidang sastera Tionghua tidak ketandusan sasterawan. Dr. Ting Chew Peh merupakan salah seorang sasterawan yang terkemuka buat masa ini. Malangnya beliau sudah berkecimpung dalam bidang politik dan sedang kian meningkat naik; jadi, nampaknya, bidang kesusteraan Melayu akan kehilangan seorang sasterawan yang berkebolehan.

Antara penulis Tionghua yang aktif kini ialah Siow Siew Sing, Goh Teck, Cheng Poh Hock, dan Goh May Teck. Mereka memberi sumbangan bagi memperkembangkan Bahasa Malaysia.

Tetapi, bukan setakat sasterawan individu yang memberi sumbangan saja; malah, beberapa pengajian tinggi seperti Universiti Nanyang (sebuah universiti di Singapura yang sudah tutup pada awal lapan puluhan), Maktab Ngee Ann Singapura dan Sekolah Menengah Swasta (Cina) Foon Yew Johor, ketiga-tiga buah institusi ini masing-masing menubuhkan Jabatan Pengajian Melayu (JPM) yang telah mencapai kejayaan yang membanggakan pada masa yang lampau. Kita juga mengambil kira sumbangan JPM Universiti Singapura dan Maktab Ngee Ann kerana kedua-dua insitusi pengajian tinggi ini telah mula memberi sumbangan apabila Singapura masih berada dalam pengakuan Malay/Malaysia lagi.

Pendek kata, sumbangan masyarakat Tionghua kepada perkembangan Bahasa Malaysia (dulu Bahasa Melayu) adalah benar-benar mengkagumkan. Masyarakat Melayu harus membuka mata dan memberi penghargaan dan galakan kepada para sasterawan-sasterawan keturunan Tionghua.

Daripada itu, para sasterawan Melayu tidak mengira keturunan akan menggembleng tenaga dan berusaha ke arah mempertingkat dan memperkayakan Bahasa Malaysia. Dalam pada ini, kempen GCBM harus diberi sambutan yang hangat daripada semua lapisan rakyat negara ini.


SONGKOK, TUDUNG SATU PENINDASAN KAUM?

(Petikan drpd buku Maruah Bangsa Melayu Gagal ? terbitan April 1991)




NAMPAKNYA, tahun 1987 telah dibanjiri dengan isu-isu yang hangat lagi mendebarkan. Isu mengenai songkok dan tudung di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) adalah salah satu perkara yang mencetuskan emosi pihak-pihak tertentu.

Walaupun isu itu berlaku pada pertengahan bulan Ogos lalu tetapi hingga kini, ia masih belum reda lagi. ‘Masalah Songkok dan Tudung’ tercetus pada pertengahan Ogos apabila UTM mengadakan Majlis Konvokesyen yang mana siswazah-siswazah bukan Melayu masing-masing diwajibkan memakai songkok (lelaki) dan tudung (perempuan).

Perkara ini telah merebak dan menghangatkan perasaan masyarakat bukan Melayu. Suara bantahan dari pelbagai pihak dan lapisan jelas kedengaran.

Antaranya, parti-parti politik sama ada parti pembangkang seperti DAP ataupun parti komponen Barisan Nasional (BN) seperti MCA dan Gerakan turut membantah dengan sekeras-kerasnya peraturan memakai songkok dan tudung itu.

Satu gejala yang agak pelik wujud kemudiannya. Pemuda UMNO, sayap UMNO yang merupakan ‘Big Brother’ dalam Barisan Nasional menyuarakan dengan begitu tegas menyokong peraturan tersebut. Dengan itu, parti-parti komponen BN mula campurtangan secara terbuka.

Naib Canselor UTM, Tan Sri Ainuddin Wahid, mempertahankan peraturan itu sambil menekankan bahawa ia sudah dilaksanakan sejak awal 1980. Beliau bertanya, mengapa baru sekarang menyoal dan membantah sesuatu perkara yang telah wujud selama tujuh tahun?

Kalau kita mengimbas kembali sejarah, apabila UTM buat pertama kalinya hendak melaksanakan peraturan itu pada 1980, ia telah menerima bantahan yang keras daripada Pemuda MCA yang diterajui oleh Datuk Lee Kim Sai ketika itu.

Sejak itu, masyarakat bukan Melayu tahun demi tahun, bertubi-tubi mengulangi bantahan terhadap peraturan tersebut. Oleh kerana pihak UTM tidak peka dengan bantahan yang dilaung-laungkan itu akhirnya perasaan tidak puas hati telah tidak terkawal dan memuncak sekali lagi pada tahun ini.

Apakah ‘masalah’ memakai songkok dan tudung telah menhantui masyarakat kita dengan begitu lama? Mungkinkah perkara itu dapat diselesaikan supaya memuaskan semua pihak secara damai?

Menurut penjelasan Naib Canselor UTM Tan Sri Ainuddin, rekabentuk songkok UTM itu adalah ‘ditiru’ dari lambing Pakistan Ineternational Airlines (PIA) dan menurut beliau, dengan memakai songkok dan tudung tidak bermakna seseorang telah diIslamkan atau diMelayukan. Ia cuma merupakan pakaian upacara majlis konvokesyen sahaja.

Hujah beliau ini telah menerima sokongan daripada Naib Canselor Universiti Utara Malaysia, Prof. Tan Sri Awang Had Salleh.

Bagaimana pula pandangan masyarakat bukan Melayu?

Faktor utama masyarakat bukan Melayu membantah dan menentang pakaian songkok dan tudung di majlis konvokesyen UTM adalah kerana ia mengandungi ciri-ciri penindasan terhadap mereka.

Ini dapat difahami jika kita meninjau bagaimana songkok yang berasal dari negara India telah berakar umbi di Malaysia khasnya masyarakat Melayu sehingga ia dianggap sebagai pakaian Melayu.

Begitu juga jika kita menganalisis perkembangan agam Islam di Malaysia yang berasal dari Asia Barat yang mana tidak dapat dinafikan penyebaran Islam adalah paling berjaya di negara kita sehingga ‘Islam itu Melayu’ dan ‘Melayu itu Islam’.

Di samping itu, songkok bukan sahaja dipandang oleh masyarakat majmuk kita sebagai pakaian Melayu, ia juga dianggap sebagai pakaian Islam.

Oleh kerana itulah, apabila UTM mewajibkan graduan bukan Melayu memakai songkok dan tudung, masyarakat bukan Melayu begitu sensitif dan marah.

Mereka menganggap dengan mewajibkan orang bukan Melayu dan tidak beragama Islam memakai pakaian songkok dan tudung yang berbau penindasan dan mengandungi ciri-ciri Melayu dan Islam nescaya masyarakat bukan Melayu menganggap UTM berniat meMelayukan dan mengIslamkan mereka.

Apabila Tan Sri Ainuddin membela tindakannya dengan mengketepikan sebarang bantahan, sikapnya agak memeranjatkan kerana sebagai seorang terpelajar, beliau sehurusnya bijaksana dan rasional dalam tindakannya, tidak sempit pandangan tetapi sentiasa mengimbangi situasi. Sebaliknya, dalam isu yang dimaksud itu ‘performance’ beliau agak dikesali. Beliau sedikit pun tidak mengambil kira perasaan orang lain.

Biasanya apabila berlaku sesuatu isu, ada pihak yang suka menangguk di air keruh. Pelik sekali, dalam isu UTM itu, sebuah akhbar tempatan iaitu Utusan Malaysia turut bersikap demikian.


Dalam terbitannya pada 24-8-1987 di muka hadapan suratkhabar tersebut, ia telah menerbitkan suatu laporan yang dapat mengelirukan dan memberi gambaran tidak tepat terhadap hal sebenarnya. Laporan itu bertajuk ‘SISWAZAH-SISWAZAH BUKAN MELAYU TIDAK KEBERATAN PAKAI SONGKOK’, Utusan Melayu telah wawancara empat orang siswazah bukan Melayu yang kononnya dilaporkan sebagai ‘bersetuju’ dengan peraturan UTM itu.

Laporan itu lantas menerima tamparan daripada lebih kurang 150 orang siswazah-siswazah yang masih menuntut di UTM. Mereka beramai-ramai menandatangani dan mengeluarkan suatu kenyataan akhbar menyuarakan bantahan mereka terhadap peraturan UTM itu yang mana mereka juga menegaskan segelintir kecil pelajar bukan Melayu yang diwawancara oleh Utusan Malaysia tidak dapat mewakili pandangan mereka.

Ekoran daripada itu (pakaian songkok dan tudung), Tan Sri Ainuddin sekali lagi mempertingkatkan imej dan popularitinya dengan mempertikaikan langkah kerajaan memberikan kuota 45 peratus kepada bukan bumiputera memasuki universiti tempatan.


Menurut beliau pemberian nisbah 55 peratus bagi bumiputera dan 45 peratus bagi bukan bumiputera akan ‘menyekat’ kewujudan lebih ramai siswazah Melayu. Dengan berbuat demikian, Tan Sri Ainuddin telah melampaui batasan dan mencerobohi kuasa pihak-pihak eksekutif.

Nampaknya beliau telah lupa statusnya sebagai pegawai kerajaan yang ditugaskan untuk melaksanakan dasar-dasar kerajaan yang telah digubal oleh eksekutif, sebaliknya mempertikaikan dasar kerajaan (kuota kemsukan universiti). Beliau seolah-olah telah menceroboh dan mecabuli kewibawaan pihak penggubal dasar.

Dari isu pakaian songkok dan tudung yang ‘dicipta’ oleh Tan Sri Ainuddin dan juga suara lantangnya menegur dasar kerajaan dalam perkara kemasukan universiti, Tan Sri telah menunjukkan bakat dan kemahiran beliau memain publisiti.

Dengan itu, ada sesetengah masyarakat berpendapat dan mengesyorkan adalah lebih baik Tan Sri Ainuddin meletak jawatan dan terus menceburi ke dalam bidang politik sebagai seorang ahli politik sepenuh masa.